MBPJ beri tempoh seminggu kaji semula keputusan Stadium Hoki Petaling Jaya

IMAG0238

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan mengadakan mesyuarat kali kedua bagi menentukan  keputusan terakhir cadangan stadium hoki Petaling Jaya perlu dikekalkan atau dinaiktaraf menjadi kompleks sukan serbaguna.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Roslan Sakiman berkata, kesemua ahli jawatankuasa Kebudayaan Belia dan Sukan yang terlibat akan dipanggil untuk memberi pandangan dan keputusan  berhubung cadangan tersebut.

Menurutnya, pihaknya akan memberi  masa tempoh seminggu bermula daripada sekarang bagi membincangkan isu serta pendapat  berkenaan isu Stadium Hoki Petaling Jaya.

“Kita akan membuat satu keputusan dalam masa seminggu supaya isu ini dapat diselesaikan dengan segera dengan memanggil semua sekali terrmasuk wakil rakyat Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) dan Ahli Parlimen ,”  katanya ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Bil 9/2010 pada sidang media, pagi tadi.

Difahamkan, isu tersebut tercetus selepas perbincangan berhubung cadangan status stadium hoki Petaling Jaya dikekalkan atau dinaiktaraf yang bertukar menjadi `panas` pada mesyuarat penuh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) daerah Petaling Jaya pada 25 September lalu.

IMAG0228

Ia berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gasing, Edward Lee mempertikaikan keputusan kelulusan menjadikan stadium hoki sedia ada kepada kompleks sukan serbaguna.

Malah, Lee menyifatkan cadangan merobohkan stadium hoki sedia ada dengan membina kompleks sukan serba guna (indoor) tidak masuk akal kerana ianya akan memakan kos perbelanjaan besar.

Susulan itu, Datuk Bandar Petaling Jaya yang mempengerusikan mesyuarat itu pada 26 Ogos lalu memberitahu isu tersebut akan dibincangkan semula dalam mesyuarat akan datang ( hari ini).

Sementara itu, sepanjang berlangsungnya  mesyuarat itu  Ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 16, Latheefa Koya mempertikaikan tindakan jawatankuasa meluluskan stadium hoki  Petaling Jaya dikekalkan tanpa sebarang persetujuan daripadanya yang juga selaku  ahli majlis daerah tempatan.

Menurutnya,  berdasarkan kepada hasil keputusan mesyuarat exco yang dipersetujui pada 25 September lalu sepatutnya semua ahli majlis dijemput untuk menghadiri mesyuarat jawatankuasa Kebudayaan Belia dan Sukan  yang telah berlangsung  baru-baru ini.

Jelasnya, pada 23 September lalu, mesyuarat jawatankuasa  itu dipengerusikan oleh Ahli MPP Zon 23, Kamaruddin Suhaimi serta enam orang ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sahaja tanpa sebarang penglibatan daripada seluruh ahli majlis .

Namun begitu, beliau memberitahu kepada para hadirin yang hadir tidak menerima sebarang surat jemputan daripada jawatankuasa tersebut.

Mengulas lanjut, Ahli MPP Zon 23, Kamaruddin Suhaimi memberi penjelasan keputusan yang diambil pada mesyuarat itu tidak akan menjejaskan mana-mana pihak kerana stadium hoki akan digunakan untuk  pelbagai kemudahan.

Lateefa kemudiannya membantah kenyataan tersebut dan mempersoalkan sewajarnya perbincangan terlebih dahulu diadakan sebelum sesuatu  perkara  atau keputusan dilaksanakan.

“Soal lulus atau tidak, itu semua tidak menjadi masalah, apa yang penting sebarang keputusan yang dipersetujui perlu mengikut prosedur yang ditetap.

“Perkara yang perlu diberi penekanan mengenai pelawaan kepada semua. Sehubungan itu, saya meminta keputusan Stadium Hoki ini ditangguhkan untuk dibincangkan  pada mesyuarat exco akan datang,” tegasnya.

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE