Lebih 30 penduduk berpiket gesa pemaju tunai janji

Lebih 30 penduduk berpiket gesa pemaju tunai janji

“Saya lahir dan membesar di kampung ini, sekarang kami mahu pemaju tunaikan janji untuk sediakan rumah kos rendah untuk kami terus tinggal di sini,” ujar V Thilla.

Lebih 30 keluarga di Ladang Batu dekat sini berpiket secara aman semalam bagi menyatakan pendirian mereka untuk terus tinggal di situ.

Mereka menuntut pemaju tanah terbabit menunaikan janji iaitu memberikan mereka unit rumah kos rendah yang didakwa dijanjikan sebelum berdasarkan dokumen perjanjian yang dikeluarkan sebelum ini.

Beberapa penduduk yang ditemui menyifatkan pemberian pampasan sebanyak RM30,0000 serta tawaran berpindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebelum ini tidak berbaloi kerana mereka sudah tinggal di situ berpuluh-puluh tahun lamanya.

Penduduk yang ditemui, V Thilla, 32, berkata, walau apa pun tekanan diberikan, mereka tetap tidak akan berpindah.

“Perkara ini masih belum selesai dan masih dibicarakan, jadi sepatutnya sebarang kerja-kerja tanah tidak boleh dibuat, tetapi kenapa mereka (pemaju) sudah mula potong tanah untuk buat longkang?

See also  Ridge View @ Puchong: Luxury villas amid nature in Puchong

“Tindakan itu menyukarkan penduduk kerana kerja pembinaan longkang dibuat di laluan masuk utama ke kawasan penempatan ini,” katanya.

Thilla mendakwa, penduduk juga tidak berpuas hati apabila setiap hari ada sahaja pihak yang tidak dikenali keluar masuk dan mengawasi pergerakan penduduk di sini.

“Saya lahir dan membesar di kampung ini, sekarang kami mahu mereka tunaikan janji untuk sediakan rumah kos rendah untuk kami terus tinggal di sini,” katanya.

Justeru, satu laporan polis berhubung perkara itu sudah dibuat di Bukit Aman.

Seorang lagi penduduk, S Mahendran, 36, turut tidak berpuas hati apabila kawasan itu didakwa dijadikan tempat pembuangan sampah.

“Mereka sewenang-wenangnya datang dan longgokan sampah di sini, kami rasa ini adalah salah satu cara mereka untuk mengusir kami keluar dari kampung ini,” dakwanya.

See also  Ridge View @ Puchong: Luxury villas amid nature in Puchong

Sementara itu, Low Thien Kua, 60, berkata, pihak berkenaan sepatutnya faham dengan apa yang diperjuangkan penduduk di sini.

“Kami tidak minta duit cuma mahu mereka kotakan janji untuk memberi rumah kos rendah kepada kami, kalau mereka hendak bangunkan kondominium di sini sekalipun tidak berbaloi kerana kami memang tidak mampu untuk membelinya,” katanya.

Difahamkan Ladang Batu mula dibuka sejak 60 tahun yang lalu.

— Sinar Harian