Sekolah dipecah masuk, guru besar turut dimaki hamun

Sekolah dipecah masuk, guru besar turut dimaki hamun

Nota tertulis `Ustazah, kenapa tak tinggalkan duit pada kita orang, ustazah p#$(@&k, haram*$&#`  ditinggalkan oleh kumpulan yang tidak bertanggungjawab setelah memecah masuk Sekolah Agama Rakyat (KAFA) Integrasi Kampung Sungai Serai.

Dalam kejadian dua minggu sebelum hari raya itu, sekolah itu bukan setakat dipecah masuk, malah penyamun turut meninggalkan nota memaki hamun guru besar yang dijumpai kakitangan sekolah tersebut.

Nota itu ditulis berikutan individu terbabit itu tidak dapat melarikan apa-apa barangan berharga berikutan langkah berjaga-jaga yang diambil oleh pengurusan sekolah itu.

Guru Besar sekolah berkenaan Ustazah Shaadah Bajui mengakui sekolah berkenaan mula beberapa kali dipecah masuk sejak tahun 2008.

Menurutnya tahun ini sahaja sudah tiga kali sekolah berkenaan dipecah masuk melibatkan kerugian ribuan ringgit.

Antara barangan yang dilaporkan hilang termasuklah wang tunai, sistem audio, set komputer, peti televisyen dan peralatan pembelajaran melibatkan kerugian ribuan ringgit.

”Mereka masuk dengan memotong jeriji besi tingkap, memotong mengeledah dan mengambil barangan berharga,”katanya ketika ditemui tengahari semalam.

Penyamun itu turut memecah mangga, tombol pintu utama untuk masuk ke bilik pentadbiran sekolah.

Kegiatan tersebut dipercayai dilakukan pada waktu malam berikutan kawasan itu yang agak sunyi selain tidak mempunyai pengawal keselamatan.

Tambah menjelikkan apabila individu terbabit turut melakukan kegiatan vandalisme dengan merosakkan harta benda sekolah.

”Mereka conteng dinding dengan perkataan lucah selain turut mengotorkan tandas menggunakan cat air,”katanya.

Mohon dana untuk tampung kos kerosakan

Berikutan beberapa siri insiden kecurian yang berlaku SAR Kafa Integrasi itu terpaksa memohon bantuan pemodalan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) berjumlah RM 10,000.

Menurutnya ke semua wang tersebut habis dibelanjakan untuk membaikpulih segala kerosakan kemudahan sekolah.

”Tukar jeriji sahaja sudah tiga kali, sekarang sekolah sudah tidak mempunyai pembesar suara dan juga komputer,”katanya.

Selain itu sejumlah kos terpaksa dikeluarkan untuk mengantikan kepala paip baru di tandas dan tempat mengambil wuduk berikutan kepala paip sediaada yang dibuat daripada tembaga dikebas.

Tambahnya selain tiada kemudahan telefon awam dan pejabat ianya sekali gus menyukarkan tugas pentadbiran sekolah sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

Pihak sekolah juga tidak mempunyai dana yang cukup untuk mengadakan pegawal keselamatan kerana kekangan kewangan.

”Kita juga berharap buat sementara waktu jika lampu dapat diadakan di belakang blok bilik guru dan pejabat adalah lebih baik kerana ianya sedikit dapat mengekang kegiatan ini kerana kawasan itu gelap dan terlindung pada waktu malam,”katanya.

Difahamkan sekolah tersebut menerima kemasukan murid dari Kundang Jaya, Kampung Sungai Serai serta kawasan sekitarnya yang kini berjumlah 160 orang.