Pangsapuri Tasik Biru Kundang bakal perolehi CF akhir Disember ini

Lebih 200 pemilik pangsapuri Tasik Biru Kundang Sungai Buloh kini boleh menarik nafas lega apabila kediaman mereka bakal memperolehi Sijil Layak Menduduki (CF) dan boleh didiami sepenuhnya menjelang akhir Disember ini.

Perkara itu disahkan oleh wakil kontraktor syarikat Kembang Serantau Sdn Bhd yang ditemui di tapak projek pangsapuri usahasama antara Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) tengahari semalam.

Menurut wakil kontraktor  tersebut, keputusan itu diperolehi selepas mengadakan perbincangan akhir bersama pihak pemaju Zikay Group Sdn Bhd baru-baru ini.

“Selepas pangsapuri ini mendapat CF, kami akan berada dalam keadaan siap sedia dalam tempoh dua tahun untuk menyelenggarakan bangunan sekiranya mendapat aduan daripada pemilik pangsapuri tersebut.

“Pada 14 September lalu, pihak bomba telah melakukan ujian di pangsapuri dan mendapati tiada masalah dan selamat untuk diduduki manakala penyerahan kunci akan diberikan kepada pembeli sejurus selepas bangunan memperolehi CF,” katanya lagi.

Difahamkan pembinaan pangsapuri Tasik Biru Kundang yang dibina pada tahun 1998 sudah siap sepenuhnya 95 peratus pada awal tahun ini.

Namun begitu, pembeli menghadapi masalah untuk tinggal di pangsapuri tersebut kerana tidak mempunyai CF setelah pihak berwajib melakukan ujian mendapati ada masalah daripada struktur bangunan tersebut sekali gus menyukar pemilik untuk berpindah di kediaman tersebut.

Sehingga kini, pembeli masih belum mendapat kunci dan masih tertunggu-tunggu setelah dijanjikan oleh wakil syarikat perumahan bahawa pangsapuri itu boleh didiami pada Februari lalu.

Pangsapuri itu mempunyai enam buah blok mampu menempatkan sejumlah 1200 penduduk di mana hanya kira-kira 200 unit pemandangan menghadap tasik sudah terjual.

Projek SPNB yang terletak di Sungai Buloh ini adalah satu lokasi strategik yang hanya mengambil masa 15 minit perjalanan dari pusat bandar Damansara.

Pangsapuri ini lengkap dengan lif, kedai-kedai, tadika, surau, dewan komuniti, 24 jam kawalan keselamatan, taman permainan kanak-kanak, tempat letak kereta, gelanggang bola keranjang, sepak takraw, badminton dan bola tampar.

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE