Kerajaan Negeri lulus RM300,000 untuk pembinaan kuil

Kerajaan Negeri lulus RM300,000 untuk pembinaan kuil

Menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) baru-baru ini, Kerajaan Negeri bersetuju meluluskan RM300,000 bagi pembinaan Kuil Sri Maha Mariamman terletak di Rimba Jaya, di sini.

Exco Kerajaan Negeri, Dr Xaxier Jayakumar berkata, satu jawatankuasa khas akan ditubuh yang diketuai Datuk Vaitilingam iaitu penasihat Hindu Sanggam bertujuan memajukan dan membina kuil tersebut.

Menurutnya, pembinaan akan dimulakan November depan dan disangka siap dalam masa enam bulan.

Beliau berkata, tanah tapak kuil tersebut dimiliki pemaju telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri khusus untuk dijadikan tempat ibadat.

“Kerajaan Negeri telah mewartakan tapak tanah ini sebagai Kuil Sri Maha Mariamman. Kita membuat satu keputusan baru dengan pemberian tanah kepada tempat beribadat selain Islam, mulai sekarang tempat ibadat ini akan diwartakan di atas nama-nama tempat ibadat yang memohon untuk tujuan itu.

“Penyelarasan ini adalah bagi semua tempat ibadat seluruh Selangor termasuk masjid dan surau, di mana ia diwartakan, bukan diberi milik sejak hampir empat bulan lalu oleh Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata, dengan pewartaan ini tidak timbul isu persatuan mendapatkan kelulusan dari Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana mengikut undang-undang yang sedia ada. Tempat ibadat tidak perlu didaftarkan di bawah ROS.

Bagaimanapun beliau menasihatkan persatuan yang ada agar mengikut garis panduan yang boleh diikuti semua di bawah persatuan.

“Masalah tapak kuil ini sejak tahun 2007 lagi sebab kuil yang ada dalam kawasan ini dulu (kawasan setinggan) dirobohkan oleh Barisan Nasional (BN). Oleh itu, kita telah mencapai persetujuan selepas perbincangan dengan penduduk dengan memberikan tapak seluas 15 kaki persegi kepada mereka.

“Kita membesarkan tapak tersebut kerana penduduk dalam kawasan tersebut berjumlah 480 keluarga India,” katanya.

Sementara itu, Rodziah menyeru mana-mana tempat yang bermasalah sebelum ini, menjadikan kuil itu contoh terbaik dengan perbincangan rasional dan berjaya menyatukan semua pihak untuk memastikan kepentingan rakyat dilaksanakan.

Manakala, Ronnie Liu pula berkata, usaha ini jelas menunjukkan Kerajaan Pakatan Rakyat ikhlas membantu semua rakyat tanpa mengira fahaman politik, agama, kaum dan sebagainya.

“Sehingga kini Kerajaan Negeri telah menganuerahkan 95 kawasan untuk rumah ibadat bukan Islam, ini tidak termasuk surau dan masjid. Ini jelas menunjukkan keikhlasan PR untuk memberikan bantuan kepada semua agama,” katanya.