Kempen tandatangan gesa kerajaan luluskan penempatan semula polis bantuan di PJ

Kempen tandatangan gesa kerajaan luluskan penempatan semula polis bantuan di PJ

Kempen mengumpul tandatangan seluruh penduduk Petaling Jaya kepada kerajaan pusat akan dilancarkan serta menjelajah di segenap pelusuk daerah tersebut, kata Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menurutnya, kempen jelajah itu dijadualkan berlangsung selepas beberapa hari umat Islam menyambut hari raya Aidilfitri yang bertujuan bagi mengumpul tandatangan seluruh persatuan penduduk dan orang awam termasuk sesi perbincangan.

Tandatangan itu akan diserahkan kepada kerajaan pusat untuk kelulusan setelah kertas cadangan diserahkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) penempatan polis tambahan ditolak, ujar Nik Nazmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia.

Tambahnya lagi, ia turut melibatkan penyertaan beberapa wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Nik Nazmi berkata, sebagai tanda menyokong tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) daerah membanteras jenayah di beberapa lokasi kawasan panas yang telah dikenalpasti.

Dalam laporan Komunitikini baru-baru ini, Datuk Bandar MBPJ, Datuk Roslan Sakiman berkata menyedari usaha menempatkan 50 anggota polis bantuan di Petaling Jaya menemui kegagalan, agensi penguatkuasaan itu dijangka akan melantik 50 anggota penguatkuasa untuk membantu tugas polis.

Menurutnya fungsi utama penguatkuasa memberi penekanan aspek keselamatan seperti pemantauan dan rondaan di lokasi panas dikenalpasti menjadi tumpuan jenayah seperti kes ragut dan samun.

Jelas beliau, perkara ini akan dibincangkan pada mesyuarat majlis daerah akan datang dengan anggaran pelaksanaan berjumlah RM 1 juta.

“Lebihan daripada wang akan disumbangkan kepada persatuan penduduk dan kawasan rukun tetangga `community policing` yang berdaftar dengan polis seperti Skim Rondaan Sukarela (SRS), komuniti berpagar dan sebagainya,” ujar Roslan.