Ean : PBT diarah siasat kewujudan kilang haram

Ean : PBT diarah siasat kewujudan kilang haram

MPS dan pejabat tanah daerah Gombak diarahkan untuk menyiasat dakwaan penduduk berhubung isu kilang haram tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram negeri, Ean Yong Hian Wah mengarahkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan pejabat tanah daerah Gombak untuk menyiasat dakwaan penduduk berhubung isu kilang haram di Kampung Sri Aman.

Beliau juga menasihatkan pemilik kilang simen dan jentera yang beroperasi berdekatan kawasan penempatan itu berpindah ke lokasi yang lebih sesuai.

“Saya akan mengarahkan pegawai agensi penguatkuasaan dan pejabat tanah daerah Gombak menyiasat serta mengambil tindakan dalam tempoh terdekat,” katanya ketika dihubungi Komunitikini semalam.

Ean mengulas bantahan lebih 600 penduduk Kampung Desa Aman berhubung isu kilang  di Jalan Kuala Selangor yang didakwa beroperasi secara haram di kawasan penempatan tersebut.

Kilang terbabit sepatutnya perlu beroperasi di kawasan yang lebih sesuai dan jauh dari kawasan perumahan kerana pelbagai impak negatif yang dibawanya kerana dikategorikan sebagai industri berat, jelasnya.

”Kita bersedia untuk mengadakan pertemuan dengan penduduk dan pengusaha kilang bagi menyelesaikan masalah tersebut ,” ujarnya.

Kilang haram: Penduduk serah memorandum pada Menteri Besar S`ngor

Persatuan penduduk-penduduk Seri Aman Heights menghantar memorandum bantahan kepada pejabat Menteri Besar Selangor berhubung isu pembinaan sebuah loji pembancuh konkrit di kawasan penempatan mereka, semalam.

See also  Malaysians overwhelmingly support end to single-use plastics

Dalam kenyataan itu, presidennya Allan Pillai berkata penduduk mendakwa pembinaan loji yang berdekatan dengan keempat-empat kawasan perumahan mengganggu keselamatan dan kesihatan penduduk sekitar.

Berdasarkan alasan bantahan yang dikemukakan penduduk, menurutnya, jika loji pembancuh konkrit ketiga dibina di tapak No Lot PT 9635, Batu 11, Jalan Kuala Selangor, (Kampung Desa Aman) dikhuatiri akan meningkatkan ancaman keselamatan kepada penduduk sekitar.

Tambahnya, di kawasan penempatan itu terdapat dua buah kilang pembancuh simen, sebuah kilang besi dan jentera beroperasi di kawasan perumahan memberi kesan negatif serta kesengsaraan kepada penduduk.

Menurut Allan, keempat-empat kawasan perumahan ini, Kampung Seri Aman, Taman Sri Aman Heights, Taman Suria dan Aman Courts menggunakan satu jalan utama sempit yang lebarnya hanya dapat memuatkan dua buah kenderaan (dua hala) panjangnya 1.5 kilometer dari jalan Kuala Selangor.

“Saban hari, jalan utama ini turut dilalui kira-kira 100 buah lori tan ke kilang masing-masing yang mengancam keselamatan penduduk.

“Pernah dilaporkan terdapat dua kes kemalangan jalan raya yang mengakibatkan kematian pernah berlaku di jalan utama ini dikatakan berpunca daripada kecuaian pemandu lori serta keadaan jalan kurang memuaskan,” jelasnya lagi.

See also  PHC addresses cable car project approval concerns

Menguatkan lagi fakta tersebut, ujarnya, loji pembancuh konkrit telah dibina di lereng bukit yang berpotensi mengakibatkan tanah runtuh serta kejadian tidak diingini berlaku.

Allan berkata keselamatan penduduk, keadaan alam sekitar juga terancam di mana sistem saliran utama telahpun diselaputi simen dan juga tanah daripada loji pembancuh konkrit berkenaan sekali gus menghalang pengaliran air dan juga mengakibatkan banjir kilat di kawasan perumahan tersebut.

“Selain itu,pelepasan gas buangan beracun oleh kilang beroperasi pada waktu malam dipercayai (aluminum dioksida) dijangka akan mengakibatkan penyakit parkinson,” katanya.

Difahamkan keselamatan serta kesihatan lebih kurang 4,500 penduduk kawasan perumahan sekitar terancam akibat aktiviti-aktiviti harian kilang berkenaan.

Memorandum yang mempunyai tiga helaian surat itu diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri (JPM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Alam Sekitar Selangor, Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Ahli Parlimen Subang R Sivarasa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong dan Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Zon 21, Zulnizam Shahrani.