Demo : Penjaja bantah tindakan DBKL

Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Wilayah Persekutuan mengadakan demonstrasi di Jalan Masjid India di sini, semalam kerana tidak berpuas hati dengan agihan tapak perniagaan Bazar Ramadan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Yang Dipertuanya Bahrim A.Razak mendakwa sebanyak 109 tapak perniagaan yang sepatutnya diperuntukkan kepada PPPKM Wilayah Persekutuan diberikan kepada syarikat-syarikat besar sehingga menyebabkan mereka tidak dapat berniaga sempena Ramadan dan Aidilfitri ini.

“Tapak itu tidak sepatutnya diberikan kepada syarikat-syarikat terbabit kerana mereka tidak mempunyai hak ke atasnya.

“Pihak kami telah menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin pada minggu pertama Ramadan tetapi masih belum ada maklum balas,” katanya kepada pemberita di sini.

Selain itu, 20 tapak yang dikhaskan untuk Orang Kurang Upaya (OKU) juga tidak diberikan kepada golongan itu.

Bahrim berkata PPPKM Wilayah Persekutuan menghantar memorandum kedua kepada Najib untuk meminta tapak tambahan di kawasan Dataran Bangunan Cahaya Suria, Jalan Sultan, Jalan Tan Cheng Lok, Dataran Puduraya dan Jalan Lebuh Pudu.

DBKL menyediakan 580 tapak perniagaan untuk peniaga dan penjaja kecil di sekitar Jalan Masjid India dan Jalan Bunus sempena Aidilfitri dan setakat ini, 380 tapak diluluskan.

– Bernama