Putera MIC Kebangsaan lapor polis kenyataan rasis di Facebook

Ahli majlis tertinggi Putera MIC Kebangsaan K Novinthen mendakwa sebuah laman web sosial Facebook bertajuk `Belia Benci Hindraf Reloaded` mengeluarkan kenyataan rasis dan berbaur perkauman.

Lantaran itu, beliau yang juga ketua jawatankuasa media baru parti itu telah membuat laporan polis di balai polis Brickfields pukul 1 tengahari semalam.

Kes tersebut akan dibawa ke di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi untuk siasatan lanjut, katanya dihubungi Komunitikini.

“Kami mendapati pihak admin (pentadbir) laman web itu telah mengeluarkan pelbagai kenyataan berbaur perkauman terhadap orang-orang India di Malaysia dan juga penganut-penganut Hindu.

“Malah pihak Fan Page (laman peminat) tersebut juga telah memaki-hamun dan memperlikan kepercayaan, adat resam dan budaya penganut Hindu,” ujarnya lagi.

Novinthen menambah, beliau mendapati pentadbir, pelbagai pihak juga mengambil bahagian dengan menulis komen-komen yang rasis.

Jelas beliau, sesetengah orang turut serta dalam memaki-hamun sesama sendiri, dibimbangi akan menular dan menimbulkan kekecohan.

“Kami menyeru pihak berkuasa mengambil tindakan secepat mungkin terhadap agen provocateur (penghasut) seperti ini supaya perkara yang tidak diingini berlaku,” tegasnya.