Lesen kedai runcit, jual puluhan botol arak

Lesen kedai runcit, jual puluhan botol arak

Penduduk mendakwa lesen kedai runcit disalahgunakan oleh pemilik premis terbabit untuk menjalankan aktiviti perniagaan menjual minuman keras di kawasan perumahan.

IMAG0277

Kewujudan sebuah premis menjual minuman keras di kawasan perumahan PJS 10, Mentari Court Petaling Jaya menimbulkan tanda tanya di kalangan penduduk sekitar.

Ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 24, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Halimey Abu Bakar berkata, beliau mendapat aduan daripada penduduk mendakwa lesen kedai runcit disalahgunakan oleh pemilik premis terbabit untuk menjalankan operasi menjual minuman keras.

Menurutnya, penduduk pernah mengemukakan aduan kepadanya mengenai premis kedai tersebut  menjual arak secara berleluasa.

IMAG0281

“Yang jadi kemusykilannya, peniaga didapati menipu  jabatan tanah dan jabatan lesen agensi penguatkuasaan itu menggunakan lesen kedai runcit.

“Selepas merujuk kepada jabatan pelesenan dan pemeriksaan oleh agensi penguatkuasaan, premis tersebut menjalankan aktiviti  menjual minuman keras 100 peratus, tiada langsung barang keperluan dapur,” tegasnya.

See also  Malaysians overwhelmingly support end to single-use plastics

Dalam mesyuarat dihadiri oleh ahli majlis dan pegawai penguatkuasaan MBPJ minggu lalu, beliau telah mengarahkan jabatan berkenaan membatalkan lesen ke atas premis tersebut.

IMAG0276

Tambahnya lagi, beliau  difahamkan premis tersebut baru sebulan beroperasi.

“Saya rasa kesal dengan tindakan jabatan tanah dan pelesenan meluluskan lesen dan tidak merujuk daripada ahli majlis terlebih dahulu. Saya berharap supaya premis tersebut ditutup selewat-lewatnya awal September ini,” ujarnya.

IMAG0271

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Bahagian Komunikasi dan Korporat MBPJ, Zainun Zakaria berkata, perkara tersebut akan dibawa ke mesyuarat teknikal Jabatan Pelesenan hari ini.

Kami akan menyiasat perkara ini, sekiranya pemilik didapati menyalahgunakan lesen diberikan, MBPJ tidak teragak-agak untuk mengenakan tindakan tegas, katanya dihubungi Komunitikini.