Kakitangan kerajaan gembira dapat RM500

Kakitangan kerajaan gembira dapat RM500

Kakitangan awam menyifatkan duit raya yang akan diberikan menjelang hari raya Aidilfitri itu mampu mengurangkan beban kewangan mereka.

Langkah kerajaan mengumumkan pemberian duit raya kepada seluruh kakitangan awam RM500 baru-baru ini, cukup menggembirakan golongan itu.

Komunitikini mendapati rata-rata kakitangan awam menyifatkan duit raya yang akan diberikan menjelang hari raya Aidilfitri  itu mampu mengurangkan beban kewangan mereka.

Bagi Pegawai Teknologi Maklumat (IT) berkhidmat di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Jerik Bandar Jengka Maran, Mohamad Zuraidi Mohamed Nawi, 26, menyifatkan pemberian duit raya itu sebagai satu rezeki yang ditunggu-tunggu dan bersyukur atas keprihatinan kerajaan.

Bagaimanapun katanya, langkah berjimat cermat tetap diambil dalam menentukan perbelanjaan supaya wang itu tidak dibazirkan.

“Kena berjimat cermat juga. Tidak boleh boros memandangkan pembayaran tersebut dibuat pada bulan puasa. saya akan gunakan wang  tersebut untuk persiapan menyambut Aidilfitri,” ujarnya.

Sementara itu, Penolong Pegawai berkhidmat di agensi penguatkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar Johor Bahru, Azham Afrina Hamzah, 26, berkata, pembayaran duit raya itu cukup melegakan bagi dirinya untuk menyambut ketibaan bulan Syawal.

See also  TTDI Edible Community Garden: A thriving oasis of sustainability and community spirit

“Terima kasih kepada kerajaan cukup prihatin membantu kakitangan awam, wang tersebut akan digunakan menjelang ketibaan Aidilfitri yang akan disambut oleh seluruh umat Islam tidak lama lagi,” ujarnya.

Perasaan yang sama turut dilahirkan oleh seorang kakitangan swasta, Fazilah Kassim, 26, yang nyata gembira dengan keputusan tersebut.

Tambahnya, pemberian duit raya itu dapat menampung perbelanjaan seharian memandangkan harga barang keperluan dan minyak yang masih lagi tinggi.

“Wang tersebut merupakan satu imbuhan tambahan yang diberikan. Jadi walaupun ia sekadar duit raya, sepatutnya ia digunakan secara bijaksana,” ujarnya yang mempunyai dua orang cahayamata hasil perkongsian bersama suaminya yang merupakan kakitangan awam.

Terdahulu, lebih 1.24 juta petugas awam dan 590,000 pesara kerajaan mendapat durian runtuh apabila kerajaan hari ini mengumumkan akan membayar bantuan khas kewangan sebanyak RM500.

See also  Malaysian alumni empower Timor-Leste youth in coral reef conservation

Dalam satu kenyataan Rabu lalu, perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata bayaran itu adalah untuk petugas dalam Gred 1 hingga 54 dan pesara kerajaan. Ia akan dibuat sebelum 1 Syawal.

“Keputusan ini diambil selepas mengambil kira kebajikan kakitangan awam dan pesara Kerajaan terutamanya bagi meringankan beban kos persediaan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri,” kata Najib yang juga Menteri Kewangan.

Menurut beliau bayaran itu membabitkan perbelanjaan sebanyak RM934.6 juta iaitu RM639.6 juta bagi petugas awam dan RM295 juta bagi pesara.