Periksa rekod pemaju sebelum tubuh JMB

Penduduk yang tinggal di kawasan perumahan kos rendah dan sederhana di minta memeriksa terlebih dahulu rekod pemaju sebelum bersetuju untuk menubuhkan Badan Pengurusan Bersama (JMB).

Ahli Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 4, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Khairul Anuar Ahmad Zainuddin berkata, langkah itu penting bagi memastikan penduduk yang bakal mengambil alih flat ataupun apartmen daripada pemaju tidak dibebani hutang tertunggak.

Menurutnya lagi, terdapat juga beberapa kes di mana pihak pemaju menubuhkan JMB secara tergesa-gesa kerana dibebani kos penyelenggaraan tertunggak mencecah jutaan ringgit.

“Penduduk perlu peka dan periksa akuan pemaju untuk memastikan tiada hutang tertunggak sebelum bersetuju menubuhkan JMB. Ini penting supaya penduduk tidak dibebani masalah di kemudian hari.

“Justeru, pemaju dan penduduk perlu duduk berbincang untuk mencari mekanisme terbaik sebelum mengambil keputusan tubuhkan JMB,”katanya kepada Komunitikini ketika diminta mengulas wajar penduduk memeriksa pemaju sebelum menubuhkan JMB, tengah hari tadi.

Sementara itu, Khairul Anuar mahu penduduk di kediaman bertingkat di mana pemajunya diisytiharkan muflis atau menghilangkan diri supaya mengambil inisiatif menubuhkan persatuan penduduk ataupun persatuan kebajikan.

Katanya, cadangan itu bertujuan supaya penduduk dapat mengumpul sumber kewangan tanpa bantuan pihak luar bagi tujuan penyelenggaraan bangunan ataupun digunakan semasa waktu kecemasan.

“Selain itu, dengan adanya persatuan penduduk, mereka boleh menggunakan persatuan itu sebagai medium menyampaikan masalah mereka kepada PBT ataupun kerajaan negeri,”katanya.

Mengulas lanjut mengenai kawasan zon 4 di Lembah Subang, jelasnya, ianya merupakan pengalaman yang cukup menarik menjaga kawasan penduduk miskin kota dan elit.

Malah, beliau mendapati ada sesetengah penduduk yang bergantung kepada majlis daerah untuk menjayakan pembangunan di sesuatu kawasan.

“Secara umumnya, saya cuba untuk memberitahu kepada penduduk tidak kira sama ada penduduk daripada kawasan elit mahupun miskin kota khususnya di Lembah Subang.

“Sebagai pembayar cukai, mereka mempunyai hak untuk bersuara, setiap cukai dibayar penduduk itulah jumlah perkhidmatan yang akan mereka dapat bukannya berkurangan” ujarnya.