Wujudkan sistem amaran ribut di PJS

Wujudkan sistem amaran ribut di PJS

Kejadian ribut yang melanda kawasan Petaling Jaya Selatan (PJS) baru-baru ini perlu diberi perhatian serius supaya kecederaan dan kerosakkan harta benda dapat dielakkan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Haniza Mohd Talha.

Justeru katanya, sistem amaran ribut perlu diwujudkan di kawasan tersebut.

Menurutnya, sistem amaran itu penting supaya penduduk boleh bersiap sedia apabila ribut melanda kawasan tersebut.

“Saya rasa kita perlu wujudkan sistem amaran ribut sama seperti sistem amaran Tsunami bagi memberi amaran kepada penduduk supaya bersedia apabila ribut melanda kawasan PJS.

“Jika adanya sistem amaran ini, penduduk boleh berlindung di kawasan selamat dan pemilik kenderaan juga boleh mengalihkan kenderaan masing-masing jauh dari kawasan flat supaya tidak dihempap kayu atau sisa bumbung yang diterbangkan angin,”katanya pada majlis penyampaian sumbangan mangsa ribut di sini, baru-baru ini.

See also  Malaysians overwhelmingly support end to single-use plastics

Hadir sama, Ketua Operasi Lembaga Zakat Selangor (LZS) Daerah Petaling, Saifuddin Samsi dan Penolong Pengarah Jabatan Kawalan Bangunan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Ismathinoon Abd Rahman.

Haniza berkata, oleh itu kajian terperinci perlu dilakukan oleh Jabatan Kaji Cuaca Malaysia bagi menentukan dan meramal bilakah kejadian ribut seterusnya akan berlaku.

“Kita mahu satu kajian terperinci diambil bagi melihat laluan angin di kawasan ini. Saya akan membawa perkara ini kepada pihak berkaitan dalam masa terdekat ini.

“Ini kerana, tahun ini sahaja sudah tiga kali kawasan PJS dilanda ribut sehingga mengakibatkan kerosakkan harta benda kepada penduduk,”katanya.

Sementara itu, Ismathinoon menasihatkan pemaju supaya melantik kontraktor atau penasihat bagi menilai kekuatan struktur bangunan masing-masing.

See also  PHC addresses cable car project approval concerns

Katanya, langkah itu penting bagi mengelakkan struktur bangunan mudah tercabut semasa ribut dan sebarang kejadian tidak diingini menimpa penduduk.

“Dalam hal ini, kita hanya boleh memantau tetapi tidak boleh mengambil sebarang tindakan kerana perkara ini luar bidang kuasa MBPJ,”katanya.

Terdahulu, pada majlis itu seramai 70 mangsa ribut menerima sumbangan wang tunai daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS), Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM), Pejabat Tanah Daerah Petaling dan Pejabat Adun Taman Medan.

Pada, kejadian 18 Ogos lalu sebahagian bumbung Flat Desa Sepakat dekat sini tercabut diterbangkan angin kencang sementara beberapa kenderaan milik penduduk rosak teruk akibat dihempap sisa kayu dan bumbung yang tercabut.