Selangor tubuh rumah lindungan untuk bayi dibuang

Selangor tubuh rumah lindungan untuk bayi dibuang

Kerajaan Selangor akan menubuhkan Rumah Perhentian Sementara bagi melindungi bayi yang dibuang dan ditinggalkan oleh ibu bapa atau pihak lain yang tidak bertanggungjawab.

Kerajaan Selangor akan menubuhkan Rumah Perhentian Sementara bagi melindungi bayi yang dibuang dan ditinggalkan oleh ibu bapa atau pihak lain yang tidak bertanggungjawab.

Anak syarikat Negeri Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS)  telah bersetuju untuk menyediakan Rumah Perhentian Sementara ini sebagai salah satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

Rumah Perhentian Sementara ini akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan peralatan untuk penjagaan bayi dan Kerajaan Negeri berharap  rumah ini dapat menolong mengurangkan kejadian bayi-bayi ini ditinggalkan di merata tempat.

Menteri Besar Tan Sri Dato Seri Abdul Khalid Ibrahim berkata langkah menyediakan rumah ini tidak bermakna Kerajaan Selangor menggalakkan maksiat atau mendorong kepada kes buang bayi sebaliknya sebagai langkah segera untuk menyelamatkan bayi yang ditinggalkan.

“Dengan adanya Rumah Perhentian Sementara ini ia akan dapat menjamin keselamatan bayi ini dan memudahkan tindakan susulan diambil oleh pihak berkuasa,” katanya.

Menteri Besar juga berkata Rumah Perhentian Sementara ini akan diuruskan oleh Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) yang diterajui oleh isteri beliau Puan Sri Salbiah Tunut.

Selain itu, satu talian bebas tol (tol free) akan diwujudkan  untuk membolehkan orang ramai mendapatkan nasihat, maklumat dan perkhidmatan yang ditawarkan.

Pelajar-pelajar Kursus Kejururawatan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) akan membantu Pekawanis menguruskan rumah ini selain kerja sama  dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain.

Sumber: Secretariat media Selangor