Penduduk mahu bangunan terbiar dipantau

Penduduk mahu bangunan terbiar dipantau

Penduduk sekitar Bandar Pinggiran Subang berharap kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengadakan pemantauan dan tindakan terhadap pemaju yang membina deretan bangunan kedai yang terbengkalai dan terbiar di laluan masuk kawasan tersebut.

Beberapa bangunan terbengkalai yang terdapat di laluan masuk berhampiran kawasan pangsapuri di Jalan Mentari sejak beberapa tahun lalu menimbulkan kebimbangan penduduk kerana ia dikhuatiri menjadi tempat penagihan dadah, pembiakan nyamuk aedes serta persembunyian warga asing.

Salah seorang penduduk tinggal berhampiran, Agnes Chai memberitahu kebanyakan bangunan terbengkalai di kawasan tersebut dibina sejak beberapa tahun lalu oleh pemaju yang tidak bertanggungjawab malah ada premis yang siap namun terbiar begitu sahaja.

“Keadaan gelap dan suram di kawasan itu kerana ada lampu jalan yang tidak berfungsi menyebabkan penduduk risau untuk keluar masuk kerana dikhuatiri diserang penjenayah dan anjing liar di situ.

See also  Ridge View @ Puchong: Luxury villas amid nature in Puchong

“Keadaan tersebut menyebabkan penduduk terutama yang bekerja pada waktu malam risau terhadap keselamatan mereka setiap kali keluar masuk ke kawasan perumahan.

“Saya berharap kerajaan Selangor terutamanya Exco  tampil turun padang untuk menyelesaikan masalah bangunan terbengkalai di kawasan itu untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya kepada Komunitikini.

Bagi salah seorang kakitangan kerajaan, Saifudin Salleh berkata sikap pemilik bangunan yang membiarkan beberapa deretan bangunan usang tanpa pemantauan amat dikesali kerana ia mendorong individu yang tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan vandalisme.

“Tiada tindakan daripada kerajaan negeri menyebabkan bangunan tersebut terbiar dan ada di antaranya dipenuhi sampah dan menimbulkan kerisauan penduduk kerana ia dijadikan tempat berkumpul mat gian dan pembiakan nyamuk aedes,” katanya.

See also  Coway and EcoKnights join forces for a greener future

“Kerajaan negeri perlu mengambil tindakan terhadap pemaju mahupun pemilik asal yang lepas tangan terhadap projek tersebut dan memantau bangunan berkenaan.

Sementara itu  pemandu teksi, Yunos Rambli berkata , kawasan terbiar dan semak akan menggalakkan lagi pembiakan binatang berbisa di kawasan berkenaan dan menjadi tempat persembunyian warga asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah serta bekerja di kilang-kilang yang terdapat di sekitar kawasan tersebut.

“Lokasi bangunan terbengkalai dan terbiar berpotensi untuk menjadi pusat persembunyian warga asing dan saya berharap pihak berkuasa mengadakan pemantauan di kawasan terlibat.

“Ini kerana saya tidak menolak kemungkinan kebanyakan warga asing di kawasan ini tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan mereka mungkin bersembunyi di bangunan terbiar serta terbengkalai tersebut,” katanya.