Bajet 2011: MDKS jadi ‘anak angkat’ MBPJ

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengambil Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) sebagai `anak angkat` dengan memberikan bantuan kemudahan kenderaan van dan motosikal menerusi peruntukan bajet tahun ini.

Datuk Bandar, Datuk Roslan Sakiman berkata, ia merupakan persetujuan dicapai oleh Kerajaan Selangor bahawa pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lebih besar perlu membantu majlis daerah mempunyai dana yang lebih kecil.

Menurutnya, pada tahun lalu, majlis bandaraya itu mengambil Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) sebagai anak angkat memberi bantuan sumbangan menjurus kepada kemudahan pengangkutan.

“MBPJ hanya memberi sumbangan kemudahan pengangkutan seperti peralatan membaiki kenderaan van dan motosikal untuk kegunaan kakitangan tersebut.

“Kita sama sekali tidak memberikan sebarang peruntukan kewangan, Kita hanya memberikan peralatan memandangkan di sini (ibu pejabat) lengkap dengan segala kemudahan untuk menyelenggara dan membaikpulih kenderaan,” katanya kepada Komunitikini.

Sementara itu, ahli majlis MBPJ, Cynthia Gabriel ketika ditemui memberikan pandangan berbeza berhubung pelaksanaan tersebut.

Menurutnya pendekatan yang dilaksanakan bukan satu jalan penyelesaian terbaik untuk tempoh jangka masa panjang.

Namun begitu, beliau tidak menolak kemungkinan perkembangan tersebut bakal membawa satu perubahan positif mengangkat seluruh agensi penguatkuasa negeri ini ke peringkat tertinggi daripada segi kepimpinan dan pengurusan.

“Bajet 2011 bermula awal bulan ini, di mana jumlah keseluruhan anggaran sebenar boleh diperolehi menerusi laman portal MBPJ secara telus.

“Bajet ini memperuntukan sejumlah wang membaik pulih serta menaik taraf kemudahan infrastruktur dan prasarana di setiap 24 zon daerah Petaling Jaya,” ujarnya yang juga Setiausaha Gabungan Badan Bukan Kerajaan dan Profesional (Conpac).

Jelasnya, ahli majlis akan mengadakan sesi perbincangan bersama penduduk sekali gus memberi maklumat secara terperinci peruntukan itu disalurkan.

Menerusi pendekatan ini, Cynthia berkata, masalah yang di hadapi penduduk selama ini akan dapat diatasi dengan segera.

“Paling penting sekali, penduduk mahu melihat bagaimana peruntukan bajet 2011 diuruskan,” ujar ahli NGO itu.

Difahamkan, Kerajaan Selangor telah melaksanakan pendekatan tersebut sejak dua tahun lalu setelah empat agensi penguatkuasa negeri itu diiktiraf antara 10 PBT terbaik seluruh negara.

Kejayaan itu dicapai berdasarkan keputusan penilaian menerusi Sistem Star Rating 2008 PBT (SSR-PBT) oleh Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaaan Tempatan.

Bagaimanapun, sebanyak tiga PBT di negeri ini tergolong dalam majlis daerah bertaraf dua bintang dikategorikan sebagai memberi perkhidmatan kurang memuaskan.

Agensi penguatkuasa terbabit adalah Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Kuala Langat serta Kuala Selangor.