MBPJ lantik 50 anggota penguatkuasa selepas cadangan polis bantuan ditolak

MBPJ lantik 50 anggota penguatkuasa selepas cadangan polis bantuan ditolak

Penguatkuasa ini hanya membantu perkara termampu sahaja tidak akan mengambil tugas polis semata-mata kerana aspek keselamatan, tanggungjawab dan amanah dipikul pihak berkuasa sepenuhnya.

Menyedari usaha menempatkan 50 anggota polis bantuan di Petaling Jaya menemui kegagalan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dijangka akan melantik 50 anggota penguatkuasa untuk membantu tugas polis mulai September ini.

Datuk Bandar, Datuk Roslan Sakiman berkata fungsi utama penguatkuasa memberi penekanan aspek keselamatan seperti pemantauan dan rondaan di lokasi panas dikenalpasti menjadi tumpuan jenayah seperti kes ragut dan samun.

Menurutnya, perkara ini akan dibincangkan pada mesyuarat MBPJ akan datang dengan anggaran pelaksanaan berjumlah RM 1 juta.

“Lebihan daripada wang akan disumbangkan kepada persatuan penduduk dan kawasan rukun tetangga `community policing` yang berdaftar dengan polis seperti Skim Rondaan Sukarela (SRS), komuniti berpagar dan sebagainya,” katanya pada sidang media di Majlis Penyampaian Buah Kurma  kepada 1400  kakitangan di ibu pejabat MBPJ , pagi tadi.

Ditanya mengenai jawapan maklum balas Kementerian Dalam Negeri (KDN), Roslan berkata, tiada jawapan diberikan tetapi tidak menolak kemungkinan cadangan dikemukakan bertindih dengan tugas polis .

“Kalau mereka (KDN) nak bagi (polis bantuan) pun dalam bangunan, seperti yang kita lihat di bangunan Petronas di mana polis bantuan bertugas dalam bangunan, dikhuatiri sekiranya mereka keluar akan berlaku pertindihan,” ujarnya.

Sementara itu, ahli majlis MBPJ Zon 24, Halimey Abu Bakar  berkata,  beliau menerima salinan surat penolakan daripada KDN diedarkan kepada seluruh ahli majlis baru-baru ini.

Mengulas  lanjut,  tambahnya lagi,  berdasarkan maklumat diperolehi, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya menyambut baik cadangan tersebut tetapi sebaliknya lain pula jawapan diberikan pihak atasan.

“MBPJ ada perancangan seterusnya untuk komuniti di seluruh daerah ini,  kita ada sesuatu kaedah pelaksanaan untuk mengawal keselamatan penduduk.

“Tetapi saya tidak boleh beri kenyataan sekarang, semasa mesyuarat baru-baru ini,  kami (ahli majlis) sebulat suara tidak memberikan sebarang komen berhubung perancangan ini.  Tunggu masa dan ketikanya,” katanya ditemui Komunitikini di Program Kesedaran Rakyat MBPJ-AADK 2010 semalam.

Sementara itu, ahli majlis MBPJ, Cynthia Gabriel memberitahu bahawa  kertas cadangan tersebut diserahkan kepada pihak berkuasa  sejak Disember tahun lalu.

Jelasnya, agak malangnya  pihak berkuasa  tidak meluluskan permohonan itu di mana semua kos perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mengulas lanjut, Setiausaha Gabungan Badan Bukan Kerajaan dan Profesional (Conpac) berkata, PBT sentiasa berusaha untuk meningkatkan taraf hidup penduduk menangani masalah kecil sehinggalah tumpuan sepenuhnya kepada perkhidmatan bandar selamat.

“Walaupun isu keselamatan diluar bidang kuasa kami, saya berpendapat tugas itu tidak boleh disandar di bahu polis semata-mata.

“Peranan dan penglibatan majlis tempatan  memberikan pandangan serta cadangan menambah baik mutu perkhidmatan polis menangani jenayah sewajarnya dihargai,” ujarnya.

Cynthia berkata, walaupun cadangan ditolak, tetap dengan pendirian meneruskan pelaksanaan untuk memperkasa bahagian unit penguatkuasaan.

Sehubungan itu, tambahnya,  majlis bandaraya itu sedang dalam proses untuk menambahkan saiz penguatkuasa berperanan membantu polis dalam isu rondaan dan sebagainya.

Tetapi apa perlu ditekankan dan diberi peringatan utama, penguatkuasa ini tidak akan mengambil tugas polis sepenuhnya kerana aspek keselamatan sememangnya  tanggungjawab utama yang diamanahkan kepada  pihak berkuasa itu , kita hanya bantu yang mana kita boleh,” tegasnya.

Dalam perkembangan lain, usaha Komunitikini menghubungi inspektor pembantu bahagian penguatkuasa KDN  bagi mendapatkan penjelasan lanjut  menemui kegagalan.

“Pegawai tersebut sedang menghadiri mesyuarat,” ujar kakitangan bertugas.

Difahamkan wujudnya `konflik dalaman` antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri menjadi  punca utama  kegagalan cadangan penempatan 50 anggota polis bantuan di daerah diiktiraf  status bandaraya.

Ia berikutan tiada kerjasama, persefahaman serta hubungan terjalin antara kedua-dua belah pihak selepas  dua tahun pentadbiran Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk kerajaan  Selangor.