CPU komputer judi tidak boleh didermakan kepada badan komuniti

CPU komputer judi tidak boleh didermakan kepada badan komuniti

Komponen perisian dalam CPU komputer didapati tidak boleh digunakan untuk kegunaan biasa kerana cip itu digunakan untuk tujuan perjudian sahaja.

IMAGE_050

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed menegaskan barang kes dirampas  dalam serbuan seperti  CPU komputer perjudian perlu dimusnahkan serta merta.

Menurutnya, ia berikutan ada pihak sebelum ini yang mempersoalkan tindakan polis  tidak menderma atau menyumbangkan kepada sekolah dan rumah kebajikan sebaliknya memusnahkan CPU komputer tersebut.

“Dari segi undang-undang polis, barang kes tidak boleh diguna pakai semula kerana harus dimusnahkan sama sekali.

“Lagipun komponen perisian dalam CPU komputer didapati tidak boleh digunakan untuk kegunaan biasa kerana cip itu digunakan untuk tujuan perjudian sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis pelupusan CPU komputer di Balai Polis Sungai Buloh, pagi tadi.

IMAGE_058

Arjunaidi berkata, sebanyak 5489 buah CPU komputer dirampas  berkaitan aktiviti perjudian di sekitar daerah pentadbiran Petaling Jaya dilupuskan di majlis tersebut.

Menurutnya, ini merupakan sebahagian daripada mesin perjudian yang sempat dimusnahkan dan ada banyak mesin perjudian belum dimusnahkan kerana masih ada kes belum diselesaikan.

“Sehubungan itu, IPD Petaling Jaya akan terus melipatgandakan usaha membanteras mesin perjudian di mana sejak Januari sehingga Julai tahun ini, sebanyak 307 serbuan dilakukan berbanding 259 pada tahun lepas.

“Dari segi rampasan yang dilakukan sejak Januari sehingga Julai  tahun ini sebanyak 4417 rampasan berbanding 4325 dalam tempoh yang sama pada tahun lepas di mana sebanyak 253 kes dbicarakan di mahkamah berbanding 223 pada tahun lepas,” ujarnya.

IMAGE_060

Mengulas lanjut  pembanterasan mesin perjudian, katanya, IPD Petaling Jaya bersama-sama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa berusaha untuk meningkatkan tangkapan dan rampasan sepanjang tahun.

Menurutnya, tetapi usaha ini tidak akan berkesan sepenuhnya tanpa adanya kerjasama dengan masyarakat.

“Untuk membanteras kegiatan mesin judi ini mudah sahaja, sekiranya masyarakat tidak terjebak bermain mesin judi, sindiket tidak dapat menjalankan perniagaan,” tegasnya.

IMAGE_054

Arjunaidi berkata, antara masalah yang sering dihadapi pihak berkuasa, walaupun  berjaya membuat banyak rampasan, permintaan terhadap mesin perjudian saban hari semakin meningkat.

Menurutnya, ini membolehkan sindiket perjudian terus beroperasi dengan mengandakan bilangan komputer kerana usaha mereka untuk menampung  kerugian.

“Selain usaha dari segi penguatkuasaan, usaha pencegahan juga perlu dilaksanakan di peringkat akar umbi,” ujarnya.