Denggi : 1,101 kes dengan 1 kematian dilaporkan bagi tempoh 25 hingga 31 Julai

Sebanyak 1,101 kes demam denggi dengan satu kematian dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh 25 Julai hingga 31 Julai, meningkat sebanyak 30 kes berbanding minggu sebelumnya iaitu 1,071 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata enam negeri menunjukkan peningkatan kes demam denggi pada minggu lepas iaitu Kelantan sebanyak 45 kes, Selangor (34), Sabah (12), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (tujuh), Kedah (lima) dan Perlis (dua).

Dalam satu kenyataan pada hari Rabu, beliau berkata bagi tempoh yang sama, empat kes penyakit chikungunya dilaporkan dan keadaan ini tidak berubah berbanding jumlah kes pada minggu sebelumnya.

Dr Mohd Ismail berkata daripada empat kes yang dilaporkan, dua kes berlaku di Sarawak manakala masing-masing satu kes di Selangor dan Sabah. – BERNAMA