MBPJ berjaya turunkan sebanyak 33 papan iklan haram akhir Julai ini

MBPJ berjaya turunkan sebanyak 33 papan iklan haram akhir Julai ini

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berjaya menurunkan sebanyak 33 papan iklan luaran tanpa kebenaran dipasang sekitar Petaling Jaya bermula Januari sehingga Julai lalu.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerusi Bahagian Pelesenan berjaya menurunkan sebanyak 33 papan iklan luaran tanpa kebenaran bermula Januari sehingga Julai lalu.

Sekretariat Akhbar Pejabat Datuk Bandar dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 25 unit lagi akan diturunkan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

Menurut Datuk Bandar,  Datuk Roslan Sakiman, sehingga kini, tiga unit papan iklan luaran membabitkan tiga lokasi iaitu di Lebuhraya NKVE di kilometer (KM) 17.8, Lebuhraya NKVE KM18.1 dan di Jalan SS24/9 berikutan kesalahan mempamerkan iklan tanpa lesen.

“Operasi penurunan papan iklan yang bermula jam 9 malam hingga 4.30 pagi pada 28 Julai lepas dilakukan bersama Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan Jabatan Perancangan dan Pembangunan serta Bahagian Pelesenan MBPJ di bawah Undang-Undang Kecil Iklan (MBPJ) 2007.

“Operasi penurunan papan iklan luaran ini akan dilakukan secara berterusan mengikut lokasi di kawasan Majlis Bandaraya itu di mana kerja penurunan papan iklan itu selesai dalam tempoh dua jam bergantung kepada ukuran papan iklan berkenaan,” katanya.

Roslan berkata, penurunan papan tanda itu dilakukan berikutan tidak mengikut peraturan selain tidak mendapat keizinan daripada Majlis.

Katanya, MBPJ akan melakukan operasi berkenaan dua kali seminggu dan memandang serius isu paparan iklan luaran tanpa kebenaran di kawasan Petaling Jaya.

“Tindakan tegas dengan memastikan setiap penuatkuasaan dilaksanakan secara lancar dan rayuan oleh mana-mana syarikat iklan yang menerima notis iklan tanpa lesen bagi kesalahan lain tidak akan dipertimbangkan,” ujarnya.

Tambahnya, bagi menangani dan menyelesaikan isu ini, Jawatankuasa Kecil Penyelarasan Penguatkuasaan dan Pemantauan iklan luaran tanpa kebenaran telah ditubuhkan pada April lalu dengan dipengerusikan oleh Ahli Majlis Ahmad Yusof Ludin dan dianggotai oleh Jabatan Perancangan, Unit Perundangan dan Bahagian Pelesenan MBPJ.

“Jawatankuasa itu bertanggungjawab untuk menyelaras tindakan penguatkuasaan dan pemantauan ke atas paparan iklan luaran tanpa kebenaran sama ada di atas tanah persendirian ataupun tanah kerajaan,” jelasnya.

Sementara itu, semasa mesyuarat penuh 28 Julai lalu, Roslan berkata kontraktor yang dilantik bagi kerja-kerja penurunan papan tanda iklan tersebut akan dibenarkan untuk menyimpan struktur  yang telah diturunkan.

Menurutnya, ia berdasarkan amalan sedia ada struktur binaan yang telah dirobohkan disimpan di stor sebelum dilupuskan mengakibatkan MBPJ mengalami masalah ruang penyimpanan.

“Majlis akan melantik lebih ramai kontraktor untuk mempercepatkan operasi penurunan papan iklan luaran tanpa kebenaran di kawasan Petaling Jaya,” ujarnya.