Sebanyak 86 peratus aduan awam berjaya diselesaikan

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berjaya mencatatkan prestasi memberangsangkan apabila menyelesaikan 5784 aduan iaitu 86 peratus berbanding 6700 aduan sepanjang awal Januari sehingga Jun tahun ini.

Datuk Bandar, Datuk Roslan Sakiman berkata, sehingga penghujung bulan ini, MBPJ menerima 932 aduan di mana 499 aduan berjaya diselesaikan manakala 335 aduan dalam tindakan berdasarkan maklumat diperolehi.

“Jenis aduan yang diterima adalah lampu isyarat, 175 diterima, 133 selesai, 35 dalam tindakan; jalan rosak, 61 diterima, 23 selesai, 32 dalam tindakan; halangan kenderaan, tempat letak kereta dan siar kaki, 50 diterima, 49 selesai.

“Manakala aduan anjing liar, 57 diterima, 38 selesai; kerosakan longkang kecil, 31 diterima, 2 selesai, 25 dalam tindakan; longkang tersumbat, 34 diterima, 27 selesai, 7 dalam tindakan dengan purata 408 diterima, 272 berjaya diselesaikan manakala 99 dalam tindakan secara keseluruhannya,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Roslan berkata pasukan tindakan pantas (QRT) memainkan peranan penting untuk menyelesaikan masalah dalam tempoh 48 jam bagi aduan segera tanpa melibatkan proses sebutharga dan tender.

Menurutnya, orang ramai boleh mengemukakan aduan kepada Unit Aduan Awam atau menghubungi hotline MBPJ 03-79542020 atau email [email protected]

“Hotline ini dipantau sepenuhnya oleh Unit Aduan Awam dalam waktu pejabat selepas 5 petang dipantau oleh Jabatan Penguatkuasa menerusi bilik alat rakaman litar tertutup (CCTV),” katanya.

Unit aduan awam atasi rungutan penduduk secara sistematik

Ahli Gabungan Badan Bukan Kerajaan dan Profesional (Conpac) menyifatkan penubuhan Unit Aduan Awam berjaya menyelesaikan masalah dihadapi penduduk.

Setiausahanya, Cynthia Gabriel berkata ia berikutan, setelah beliau mendapati sistem aduan awam yang digunapakai sebelum ini tidak berkesan berbanding pelaksanaan sehingga hari ini.

Menurutnya, pada waktu itu, seluruh ahli majlis mewakili 24 zon Petaling Jaya membuat keputusan sebulat suara melantik seorang pengarah untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab menangani aduan awam.

“Jika diteliti fungsi utama aduan awam merangkumi pelbagai bentuk dan format sebagai contoh aduan menerusi panggilan telefon, penghantaran email dan secara bersemuka.

“Kini unit aduan awam dilihat lebih sistematik merupakan satu pendekatan yang baru memperlihatkan pencapaian membanggakan tidak pernah berlaku di mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor,” katanya kepada Komunitikini.

Menyentuh mengenai kriteria utama pelantikan pengarah aduan awam, beliau berkata, individu yang dilantik lebih menjurus kepada golongan profesional bertanggungjawab serta memberi laporan kepada ahli majlis dan bukannya kakitangan awam.

Cynthia yang juga ahli majlis MBPJ memberitahu, unit aduan awam menghadapi kesukaran di peringkat awal penubuhan kerana berlaku sedikit konflik tetapi selepas setahun berlalu ia menerima reaksi positif kerana setiap aduan berjaya diselesaikan.

Jelasnya, selain daripada unit aduan awam, penubuhan Quick Respond Team (QRT) berperanan menyelesaikan masalah kecil kerja pembaikan tidak lebih daripada tempoh 48 jam.

“Ia disambut baik masyarakat setempat, ini adalah janji diberikan pihak berkuasa tempatan, QRT melaksanakan tugas longkang sumbat, lampu jalan, ribut dan banjir melanda sesuatu kawasan dan jalan berlubang.

“Pengarah memainkan peranan penting menyelia dan mengawal unit-unit ditubuhkan serta mampu berkordinasi dengan jabatan-jabatan lain adalah mustahak memang ada pembaharuan dari cara kerja dan kordinasi,” ujarnya.

Malah, beliau dapati antara masalah yang seringkali dihadapi ahli majlis daripada ketidakseragaman pelaksanaan tugas di setiap jabatan.

“Mungkin kurang penglibatan dan kerjasama sesebuah jabatan dengan jabatan yang lain kerana mereka hanya melaksanakan tugasan yang diberikan.

“Saya melihat penubuhan ini mampu memberikan kesan positif sekali gus dilihat sebagai salah satu mekanisme penting bagi menyelesaikan aduan awam di masa hadapan,” katanya.