Kerapkali disamun, peniaga gesa pihak berkuasa ambil tindakan segera

Jenayah samun dilaporkan berleluasa di Jalan Puchong mencetuskan kebimbangan terhadap peniaga menjalankan aktiviti perniagaan seharian.

Ia berikutan, hampir keseluruhan deretan kedai menjual peralatan ganti kereta, kedai  barangan rumah, kedai perabot serta kedai elektrik milik peniaga menjadi mangsa samun sekumpulan individu menaiki motosikal membawa senjata pistol, pedang samurai dan kapak.

Seorang pekerja kedai alat ganti kereta yang enggan mendedahkan identiti menceritakan pengalamannya menjadi mangsa samun sekumpulan individu pada tahun lepas.

Beliau mendakwa kumpulan terdiri daripada enam orang lelaki berbangsa India menaiki motosikal menggunakan senjata seperti pistol, pedang samurai dan kapak untuk mengugut serta menyamun wang dan barangan di premis milik mangsa.

Menurutnya, di kawasan ini memang kerap kali berlaku kejadian samun dan pernah melihat mereka melarikan televisyen plasma dan alat pemain DVD daripada kedai barangan elektrik.

Ditanya sama ada membuat laporan polis, beliau berkata sebelum ini pernah membuat laporan polis di balai polis Petaling tetapi tiada tindakan diambil.

“Saya diberitahu oleh anggota polis supaya memberikan masa dua minggu untuk menyiasat kejadian tersebut tetapi sehingga ke hari ini tiada sebarang berita.

“Sini memang tiada pihak berkuasa (polis) meronda, saya tak pernah nampak, kadang-kadang penunggang motosikal tidak memakai topi keledar juga tiada hal(masalah),” katanya kepada Komunitikini.

“Itulah yang saya tengok bila ramai orang masuk dalam kedai saya banyak takut, saya tak berani orang masuk, kita (kedai ) sudah kena (samun) dua kali, memang takut (fobia),” ujarnya.

Salah seorang pekerja kedai perabot, Mr. Yap turut berkongsi pengalaman sama apabila menjadi mangsa samun sebanyak dua kali oleh sekumpulan lelaki dalam tempoh sebulan kebelakangan ini.

Menurutnya, modus operandi kumpulan itu melakukan samun kira-kira jam 8 hingga 9 malam apabila peniaga hendak menutup kedai.

Malah, beliau mengakui pihak polis jarang melakukan rondaan di sekitar jalan tersebut.

“Nasib baik pada masa kejadian samun saya sudah balik kira-kira jam 9 malam. memang saya bernasib baik.

“Sekarang semua peniaga mengambil langkah berjaga-jaga dengan menutup kedai seawal jam 7 malam kerana bimbang kedai disamun,” katanya.

Ketika ditemui Komunitikini selepas mengadakan lawatan ke deretan kedai di Jalan Puchong menjadi mangsa samun, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata terdapat rungutan daripada peniaga bahawa tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, ketika menghampiri peniaga, mereka begitu takut dan fobia untuk bercakap dan menceritakan perkara sebenar.

“Saya difahamkan enam kedai telah disamun dalam masa sejam (dalam tahun ini) tetapi apa yang malangnya, ramai antara peniaga tidak membuat laporan polis kali kedua.

“Sehubungan itu, saya akan menulis surat kepada ketua balai polis Petaling supaya mengambil tindakan segera  melakukan rondaan dengan lebih kerap termasuk menempatkan anggota polis berpakaian preman untuk mencegah jenayah samun daripada terus berulang,” katanya.