Peniaga PJ sambut baik “sistem terbuka” tapak bazar ramadan

Puasa beramah mesra bersama peniaga mendapat tajaan daripada Maggi
Puasa beramah mesra bersama peniaga mendapat tajaan daripada Maggi

Langkah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengadakan “sistem terbuka” cabutan undi petak kepada peniaga bazar ramadan menerima reaksi positif di kalangan peserta.

Ditemui Komunitikini selepas menghadiri kursus pengendalian makanan cabutan undi petak di Auditorium Dewan Sivik Petaling Jaya, mereka memberikan beberapa pandangan berhubung sistem terbuka diperkenalkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Peniaga, Kamarulzaman Hashim, 46, berkata sistem terbuka mengurangkan kerenah birokrasi dan kronisme dalam pemilihan petak bazar ramadan.

Menurutnya, berbanding tahun sebelum ini, beliau menghadapi kesukaran untuk mendapatkan tapak ramadan.

“Ini baru pertama kali saya mendapatkan lesen secara sah kerana sebelum ini saya terpaksa berniaga secara haram kerana tidak mempunyai lesen walaupun sudah 10 tahun berniaga di bazar ramadan.

“Puas saya mohon (lesen) beberapa kali, memang tak dapat, dengan sistem terbuka ini semua peniaga mencabut undi untuk mendapatkan tapak bazar secara adil.

“Dahulu kalau peniaga tak hadir pun boleh ambil borang tetapi tahun ini kita dapat lihat ketelusan dalam pembahagian tapak,” katanya

Komunitikini mendapati seramai 89 peniaga menunggu giliran untuk mencabut nombor tapak disediakan oleh MBPJ.

Turut berkongsi pendapat yang sama, Mohd Ghazali Abd Manaf, 25, berkata dengan adanya `sistem terbuka`  secara tidak langsung memberi peluang kepada peniaga yang benar-benar ingin berniaga sempena bulan ramadan.

Menurutnya sebelum ini ada segelintir individu dikesan mengambil peluang untuk berniaga sempena bulan ramadan sahaja.

“Saya kesal kerana pernah menemui pelanggan merungut cakap ada makanan dan minuman yang dijual  basi. Mereka berniaga semata-mata inginkan keuntungan tanpa memikirkan kesan yang dihadapi oleh peniaga lain.

“Malah ada peniaga yang bergaduh kerana merebut tapak.Saya berharap sistem terbuka ini akan dapat dilaksanakan dari setiap tahun ke tahun,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Datuk Bandar, Puasa Md Taib berkata, MBPJ mengadakan kursus pengendalian makanan  bermula hari ini sehingga 30 Julai  dengan membuka tapak di 22 buah kawasan sekitar Petaling Jaya.

Menurutnya, kursus setengah hari terbahagi kepada lima peringkat melibatkan 1640 peniaga bazar tapak ramadan di mana tujuan kursus diadakan memberi pendedahan kepada peserta mengenai penyakit berjangkit dan menambah kursus agama dan penguatkuasaan.

“Saya berharap semua peniaga mematuhi peraturan dan menjaga kebersihan gerai dipantau oleh pegawai penguatkuasaan, sekiranya gagal mereka akan dikenakan tindakan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MBPJ, tengah hari tadi.

Di majlis itu, wakil Maggi memberi tajaan berupa  topi, apron dan papan tanda jualan kepada  1640 peniaga bazar ramadan Petaling Jaya.

Puasa berkata, bagi menggalakan peniaga menjaga kebersihan, MBPJ  turut mengadakan pertandingan gerai terbersih dengan menawarkan hadiah lumayan kepada peserta.

“Pertandingan ini sudah bermula pada tahun lepas, terbuka kepada semua peniaga yang terlibat dalam bazar ramadan,” ujarnya.

Ditanya mengenai jumlah peningkatan tapak bazar ramadan berbanding tahun lepas, beliau memberitahu sebanyak 10 hingga 20 peratus  peningkatan  tapak dilaporkan.

“Baru-baru ini  kita terima 1,300 permohonan sebab itu kita buka 1640 tapak berdasarkan permintaan peniaga bergantung kepada tempat dan permohonan yang diterima.

“Kita harap semua peniaga patuh pada peraturan ditetapkan dan sentiasa mengamalkan langkah-langkah kebersihan,” katanya.

Menyentuh mengenai pembersihan sampah,  Puasa berkata, MBPJ membayar RM1 kepada Alam Flora untuk melaksanakan kerja pembersihan bagi setiap petak.

“Saya jangka masalah mengenai sampah tidak akan timbul kerana Alam Flora akan membersihkan setiap petak bermula 3 petang sehingga 9 malam  sepanjang bulan ramadan,” ujarnya.