Pelajar sarjana UM perlu bantuan kewangan sambung pengajian

P21-07-10_11.02[2]

Lapan pelajar Universiti Malaya (UM) yang kini sedang menyambung pengajiannya dalam peringkat sarjana meminta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberikan peruntukan pinjaman pendidikan.

Ia berikutan kesukaran dihadapi pelajar semester pertama itu untuk meneruskan pengajian di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA)  kerana perlu membayar sebanyak RM1,182 untuk pendaftaran.

Pelajar, Suhaimah Yunus, 24 berkata, pada tahun lepas KPT ada menyediakan peruntukan  kepada pelajar menyambung pengajian di peringkat sarjana.

Menurutnya, beliau hairan kerana peruntukan itu ditutup (tidak diberikan) ketika melayari laman portal KPT baru-baru ini.

“Ketika menghubungi KPT, pegawainya memberitahu bajet tidak mencukupi, padahal pada tahun lepas saya melihat di laman portal peruntukan (pinjaman pembelajaran) diberikan kepada pelajar untuk ambil sarjana.

“Saya difahamkan hanya pegawai dan kakitangan yang berkhidmat layak untuk mendapatkan peruntukan tersebut, bagaimana pula dengan kami yang tiada pekerjaan?,” katanya yang mengambil sarjana dalam bidang syariah.

Turut berkongsi pendapat yang sama, Musaiyadah Ahmadun, 24, memberitahu dia diberi masa sehingga akhir bulan ini untuk membayar jumlah keseluruhan pendaftaran.

Menurutnya, sekiranya gagal, beliau tidak pasti sama ada akan dibenarkan oleh pengurusan UM untuk meneruskan pengajian atau sebaliknya.

“Sehingga kini kami tidak henti-henti pergi berjumpa dengan beberapa pertubuhan NGO lain untuk memberikan bantuan dan sumbangan.

“Kami masih fresh (tidak bekerja) macam mana hendak bayar jumlah keseluruhan, kami bukannya daripada golongan orang berada, sepatutnya kami diberikan perhatian sewajarnya,” katanya.

Beliau antara lapan pelajar ditemui Komunitikini selepas majlis penyerahan cek berjumlah RM500 kepada pelajar terpilih Sarjana UM di pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai, semalam.

P21-07-10_11.15

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, cek berjumlah RM500 setiap seorang adalah sumbangan Yayasan Aman, sebuah organisasi yang dinaungi oleh presiden Keadilan dan telah bergerak sebagai badan amal sejak tahun 1980an.

Menurutnya Yayasan Aman memberi fokus kepada isu kesihatan, kebajikan dan pendidikan serta bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan dan agensi kerajaan yang lain seperti Baitulmal.

“Yayasan Aman hanyalah pemegang amanah dan sumbangan daripada orang ramai dan agensi terbabit yang akan disalurkan terus kepada golongan yang memerlukan.

“Walaupun sumbangan diberikan tidak mencukupi untuk menampung pendaftaran mereka, saya berharap ada pihak tampil berikan bantuan kepada pelajar ini,” ujarnya.