Tabung khas bantu biayai pembelian rumah PPR, PA DBKL

Satu tabung khas akan diwujudkan bagi membiayai pembelian unit rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dan Perumahan Awam (PA) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi pembeli yang benar-benar tidak berkemampuan.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata bank-bank terpilih akan menyediakan dana untuk tabung itu bagi membolehkan kemudahan pinjaman perumahan diberikan kepada pembeli berkenaan.

Beliau yang dipetik daripada laporan Bernama semalam, berkata  ia merupakan antara inisiatif kementerian untuk membantu pembeli rumah dalam mempercepatkan proses pembelian kediaman itu.

Katanya, karnival bank bagi penjualan rumah PPR MTEN dan PA DBKL juga akan diadakan dalam masa terdekat ini bagi membolehkan pembeli berurusan dengan bank-bank pilihan mereka untuk mendapatkan pinjaman.

Raja Nong Chik berkata sejumlah 11,499 daripada 18,201 penghuni yang layak telah bersetuju membeli unit-unit rumah PPR MTEN dan PA DBKL.

Daripada jumlah itu, seramai 1,928 penghuni telah menandatangani perjanjian jual beli iaitu 1,080 pembeli membuat bayaran secara tunai manakala selebihnya membuat pinjaman bank, katanya.

“Nampaknya kesungguhan pembeli tidak terserlah dalam menyelesaikan urusan pembelian dan mengamalkan sikap tunggu dan lihat dengan harapan pihak kerajaan akan mengubah mekanisme pembiayaan untuk program penjualan ini.

“Pembeli dinasihatkan jangan melewatkan urusan dengan pihak bank ini, kita telah melongggarkan beberapa syarat untuk mereka jadi yang penting mereka kena jumpa bank masing-masing,”  katanya.

Raja Nong Chik berkata bagi mereka yang berpendapatan tidak tetap dan tidak mempunyai slip gaji, Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bersedia memberi jaminan kepada pihak bank untuk meluluskan pembiayaan dan pinjaman mereka.

“SJKP bersedia menjamin pinjaman daripada golongan berpendapatan tidak tetap dan yang tidak mempunyai slip gaji sehingga 120 peratus daripada jumlah pinjaman.

“Kementerian Kewangan baru-baru ini juga telah memberi kebenaran khas kepada SJKP untuk turut menjamin pinjaman dari golongan yang berpendapatan tetap sehingga 120 peratus daripada jumlah pinjaman khusus bagi program penjualan rumah ini,” katanya.

Mengenai cadangan pembelian rumah PA DBKL secara sewa beli, Raja Nong Chik berkata ia tidak dapat dilaksanakan kerana membebankan DBKL terutamanya dari aspek pentadbiran dan kewangan.

“Terdapat pembeli-pembeli yang telah menetap hampir 20 hingga 30 tahun di kawasan perumahan ini yang menuntut agar mereka tidak perlu bayar apa-apa bayaran kerana telah membayar sewa bulanan RM124 sejak sekian lama.

“Kerajaan terpaksa menanggung kos yang tinggi jika ini berlaku kerana bayaran bulanan itu tidak memadai jika dibandingkan dengan perbelanjaan penyelenggaraan bulanan setiap unit yang dianggarkan RM250 sebulan,” katanya. – Bernama