Fokus ahli majlis MBPJ baru dekati komuniti setempat

Datuk Bandar MBPJ, Roslan Sakiman (tengah) beramah mesra bersama ahli majlis MBPJ yang baru

Komunitikini berkesempatan menemuramah beberapa ahli majlis baru dilantik selepas upacara pengakuan menerima jawatan ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Sepanjang berlangsung upacara mengangkat sumpah, Komunitikini mendapati pelbagai reaksi dan keceriaan terpancar di setiap wajah ahli majlis dilantik bagi sesi 2010/2011.

Seramai lima muka baru dilantik antaranya A.Jeyaseelan Tony Cheong Siew Thong, Megat Iskandar Megat Ahmad Sufian, Khairul Anuar Ahmad Zainudin dan S.Kandiah.

Manakala 19 lagi ahli majlis kebanyakannya pernah menyandang jawatan selama dua penggal meneruskan khidmat bagi melaksanakan program kemasyarakatan dan pembangunan di setiap zon dan kawasan masing-masing.

Ketika ditemui Komunitikini, ahli majlis baru Khairul Anuar Zainal Abidin memberitahu antara perkara utama perlu diberi perhatian selaku ahli majlis untuk mendekati penduduk setempat.

“Walaupun ahli majlis baru tiada mandat kerana menerima jawatan menerusi pelantikan namun itu bukannya penghalang untuk mendengar luahan komuniti,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai projek pembangunan `urban planning` di Petaling Jaya, beliau percaya sesuatu projek pembangunan harus dilaksanakan secara neutral.

“Secara peribadinya, saya tidak percaya tentang konsep bandar tersusun dan terancang kerana ia akan melenyapkan keindahan fizikal secara alami.

“Saya akan berusaha memastikan pembangunan secara neutral dapat dilaksanakan di Petaling Jaya serta berpegang kepada prinsip `sustainable development,” ujarnya.

Bagi ahli majlis NGO, Megat Iskandar Megat Ahmad Sufian menjelaskan beliau menganggap pelantikan ini sebagai satu cabaran bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Sebelum ini saya banyak merancang dan melakukan aktiviti sosial disertai golongan muda seperti menganjurkan program dan motivasi,” katanya.

Sementara itu, ahli majlis baru, S.Kandiah menyifatkan pelantikan ini sebagai satu cabaran untuk memberi perkhidmatan serta meningkatkan taraf kualiti penduduk di Petaling Jaya.

“Setakat ini saya belum ditempatkan di mana-mana zon atau kawasan mungkin akan diketahui dalam masa terdekat,” ujarnya.

Antara ahli majlis MBPJ baru dilantik

A.Jeyaseelan
Tony Cheong Siew Thong