Sembilan muka baru ahli majlis MBSA

Sembilan muka baru ahli majlis MBSA

MBSA mengumumkan pelantikan 9 ahli majlis baru untuk sesis 2010/2011.

Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) perlu sentiasa mendekatkan diri dengan masyarakat setempat dengan mengadakan program kemasyarakatan supaya sebarang keperluan, permintaan, pandangan dan permasalahan yang dibangkitkan dapat dipanjangkan kepada MBSA dan agensi berkaitan.

Datuk Bandar MBSA, Datuk Mazalan Md Noor berkata, ini bersesuaian dengan fungsi mereka untuk membantu MBSA dalam mempertingkatkan sistem penyampaian dan membela nasib rakyat tanpa mengira latar belakang, bangsa, agama mereka.

Menurutnya, beliau meletakkan kepercayaan bahawa gabungan ahli majlis yang tahun ini akan lebih mantap dalam usaha penambahbaikan dan memajukan MBSA.

“Saya yakin dan percaya, gabungan kepakaran, kemahiran dan juga pengetahuan yang ada pada ahli majlis pada sesi ini dapat membantu memacu hala tuju MBSA dalam menghadapi pelbagai cabaran dan persaingan yang dihadapi pada hari ini.

“Kita mendapat sembilan ahli majlis baru, kebanyakannya merupakan wakil dari NGO. Jadi saya rasa ahli majlis tahun ini lengkap dari segi pengalaman dan kepakaran mereka dalam pelbagai kerana mereka terdiri dari peguam, ahli perniagaan, doktor, jurutera dan sebagainya,” katanya dipetik daripada Sinar Harian  di majlis mengangkat sumpah ahli majlis MBSA sesi 2010/2011 di Wisma MBSA semalam.

Ahli majlis baru adalah V Vembarasan, V Ganabatirau, Mohd Ismahali Ridzwan Ismail, S Puspha Lingam, K Yogasigamany, Sarimah Lisut, Noraini Hussin, bagaimanapun Tengku Ahmad Tengku Kasim dan Mesni Mohd Dahlan tidak hadir disebabkan urusan rasmi di luar.

Beliau berkata, pelantikan 24 ahli majlis itu merupakan satu penghormatan dan amanah yang harus dipikul dengan penuh rasa tanggungjawab dan sepenuh hati.

“Kerajaan Negeri telah meneliti senarai ahli majlis yang telah di senarai pendek dalam kalangan mereka yang berkelayakan dan mempunyai integriti yang tinggi, barisan ahli majlis bukan sahaja terdiri dari peringkat akar umbi yang berpengalaman tetapi juga di kalangan ahli NGO.

“Saya percaya wakil dari NGO ini mempunyai pengalaman dalam memperjuangkan hak-hak dan nasib golongan yang mereka wakili,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman dan pandangan tersebut boleh membantu MBSA mendapatkan input dan maklumat berguna bagi mempertingkatkan sosioekonomi dan taraf hidup masyarakat terutamanya yang memerlukan pembelaan dan keprihatinan yang sewajarnya daripada MBSA.