Reaksi persatuan penduduk PJ disebalik pelantikan ahli majlis

Reaksi persatuan penduduk PJ disebalik pelantikan ahli majlis

Pengumuman senarai nama ahli majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selasa lalu mendapat pelbagai reaksi daripada persatuan penduduk daerah ini.

Pengumuman senarai nama ahli majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selasa lalu mendapat pelbagai reaksi daripada persatuan penduduk daerah ini.

Ada antara mereka menyambut baik keputusan pemilihan ahli majlis dan ada yang memberikan cadangan mahu dikekalkan.

Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon 15 dan 16 MBPJ, Shamsuddin Hassan berkata tidak banyak perubahan jika dilihat kepada keputusan senarai nama ahli majlis baru.

Menurutnya, majoriti 85 peratus ahli majlis masih dikekalkan menunjukkan berlakunya perubahan positif di setiap kawasan.

“Masalah dihadapi penduduk Seksyen 3 antaranya permintaan pondok polis baru, isu kafe siber haram berjaya diselesaikan ahli majlis,” katanya kepada Komunitikini.

Sementara itu, Setiausaha Gabungan Ketua Blok Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, Muhammad Kamarulzaman Elias, 33, berkata pemilihan ahli majlis di setiap kawasan penting kepada seluruh penduduk.

Menurutnya, ahli majlis diibaratkan mewakili suara penduduk dalam usaha menangani masalah dan isu setempat khususnya dikawasan luar bandar.

“Kawasan Lembah Subang dahulunya dikenali sebagai kawasan panas dengan pelbagai gejala sosial melanda tetapi sejak kebelakangan ini dilihat semakin berkurangan.

“Ini kerana wujudnya persefahaman antara ahli majlis dan penduduk merencanakan pelbagai program kemasyarakatan dan pembangunan,” jelasnya.

Katanya, sebarang pertukaran ahli majlis mungkin akan membantutkan pelaksanaan dari segi perancangan sesuatu pembangunan infrastruktur di kawasan itu.

Sebagai contoh, pembangunan pusat komuniti, pusat IT memerlukan jangka masa panjang untuk dilaksanakan, sekiranya ahli majlis ditukar dikhuatiri akan merencatkan proses tersebut.

“Kami berharap kerajaan negeri mengekalkan ahli majlis terdahulu kerana tidak mahu ahli majlis dipilih untuk kepentingan parti sendiri.Kami mahukan individu benar layak berkhidmat kepada masyarakat,” tegasnya.