Senarai nama ahli majlis diedarkan kepada media timbulkan persoalan

Beberapa salinan senarai nama ahli majlis baru mewakili 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor diedarkan kepada pihak media malam tadi menimbulkan persoalan sama ada ia senarai rasmi atau sebaliknya.

Sehingga kini, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Zon 12, Derek Fernandez  memberitahu bahawa beliau masih belum menerima surat pelantikan walaupun senarai nama ahli majlis telah diedarkan malam tadi.

Menurutnya, berdasarkan maklumat senarai nama ditunjukkan oleh rakan daripada media, kononnya ada tiga nama ahli majlis MBPJ yang akan digugurkan.

“Namun, saya tidak boleh mengulas lebih lanjut mengenai kesahihan senarai nama itu, apa yang boleh saya katakan ia memang pelik.

“Sehingga kini, saya masih menanti senarai rasmi ahli majlis dilantik mungkin akan diketahui lewat petang ini.

Difahamkan, mengikut senarai nama diedarkan, antara nama yang digugurkan Ahli Majlis MBPJ Zon 22, Michael Soon Ahli Majlis MBPJ, Zon 3, V Panneerselvam dan Ahli Majlis MBPJ Zon 4, Mohd Halil Harun.

Tempat mereka akan digantikan dengan Khairul Anuar Ahmad Zainuddin, Tony Ceong Siew Thong dan S Kandiah.

Turut menyatakan pandangan yang sama, Ahli Majlis Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Mohd Faizal Baharuddin berkata semua senarai nama ahli majlis telah diserahkan kepada kerajaan negeri pada peringkat awal.

Beliau bagaimanapun, mendapati ada nama ahli majlis yang tercicir menerusi senarai nama yang diedarkan kepada pihak media.

Menurutnya,kemungkinan senarai nama diserahkan kepada pihak media hanya sebagai rujukan kepada mereka untuk semakan senarai ahli majlis baru yang dicadangkan.

“Tetapi  keputusan akhir menentukan sama ada dilantik atau tidak  apabila  majlis angkat sumpah atau surat rasmi dihantar terus kepada ahli majlis,”katanya.

Namun begitu, situasi berbeza terjadi pada Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah  Alam (MBSA), Muhammad Najmi Samsudin apabila  mendapati namanya tiada dalam senarai ahli majlis yang diedarkan kepada pihak media.

Ditemui Komunitikini, beliau menjelaskan, besar kemungkinan namanya tercicir di saat akhir.

“Mungkin hari ini, kita akan mengetahui keputusan rasmi senarai penuh ahli majlis,”katanya.

Terdahulu, kerajaan Selangor mengumumkan pelantikan seramai 288 ahli majlis bagi 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri itu berkuatkuasa hari ini.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, senarai rasmi nama ahli majlis akan diedarkan kepada umum pada tengah hari ini.

Mengulas lanjut mengenai pelantikan, menurutnya kira-kira satu pertiga ahli majlis dipilih adalah muka baru bagi menggantikan ahli majlis lama yang digugurkan atau menarik diri atas beberapa sebab.

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE