S'gor lantik 288 ahli majlis PBT penggal baru

S'gor lantik 288 ahli majlis PBT penggal baru

Kerajaan Selangor mengumumkan pelantikan seramai 288 ahli majlis bagi 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri itu berkuatkuasa hari ini.

Kerajaan Selangor mengumumkan pelantikan seramai 288 ahli majlis bagi 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri itu berkuatkuasa  hari ini.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, senarai rasmi nama ahli majlis akan diedarkan kepada umum pada tengah hari  ini.

Mengulas lanjut mengenai pelantikan, menurutnya kira-kira satu pertiga ahli majlis dipilih adalah muka baru bagi menggantikan ahli majlis lama yang digugurkan atau menarik diri atas beberapa sebab.

“Daripada 288 ahli majlis yang dipilih sesi 2010/2011, 46 orang adalah wanita manakala 25 peratus mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Orang Kelainan Upaya (OKU),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Malam Penghargaan Dan Penganugerahan Zon Bersih PBT di Dewan Sivik MBPJ,di sini, malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Khalid memberitahu bahawa kerajaan Selangor akan menubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan Tempatan yang berperanan menasihatkan kerajaan negeri berkenaan polisi dan strategi kerajaan tempatan.

Menurutnya, penubuhan Majlis Penasihat ini menjadi sebahagian daripada usaha melicinkan dan memantapkan lagi pentadbiran kerajaan tempatan.

“Seramai 20 Ahli Majlis Penasihat Kerajaan Tempatan yang akan dilantik berperanan memberi nasihat dan cadangan kepada Exco Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan, Ronnie Liu.

“Antara agenda utama Majlis Penasihat ini ialah merealisasikan pilihan raya peringkat kerajaan tempatan,  meningkatkan perkhidmatan kerajaan tempatan, menstruktur semula pengurusan sampah dan menangani jenayah,” katanya.

Khalid berkata, kerajaan negeri telah melantik Michael Soon, Sharifuddin Bidin dan Abdul Rahman Moharam untuk membentuk pasukan petugas yang akan menubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan Tempatan.

Katanya, pelantikan mereka ini mula berkuatkuasa 15 Julai manakala senarai penuh ahli Majlis Penasihat akan diputuskan dalam Mesyuarat Mingguan Kerajaan Negeri (MMKN) kelak.

“Ahli Majlis Penasihat yang dilantik akan mewakili NGO dan badan profesional seperti Majlis Peguam, Pakatan Untuk Pentadbiran Yang Baik (Coalition for Good Governance) kumpulan arkitek dan wakil persatuan penduduk,” katanya.

Beliau berkata, individu yang mempunyai kemahiran profesional akan dijemput menyertai Majlis Penasihat terutama mereka yang mempunyai pengalaman berkaitan kerajaan tempatan.

“Ahli Majlis PBT tidak layak mengambil bahagian dalam Majlis Penasihat bagi menjamin ketelusan dan kebebasannya,” tegasnya.