Penduduk anjur sesi dialog bincang isu tanah Telegas

Oleh  Khaulah Azwar

P6252633

Penduduk Gombak Utara kini boleh menarik nafas lega apabila isu hak tanah Telegas membelenggu  mereka semenjak 2003 lalu akan diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Dalam sesi dialog baru-baru ini, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil daripada agensi kerajaan mengenalpasti seramai 330 nama pemilik geran tanah Telegas berdaftar berbanding 66 pemilik lagi belum mendaftar.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Gombak Utara, Mohd Said  Zakaria berkata, dengan ada sesi dialog secara tidak langsung dapat menyelesaikan masalah  penduduk berhubung isu hak tanah.

P6252623

Menurutnya,antara isu yang dibincangkan adalah mengenai pembahagian tanah tujuh lot di Sungai Chincin, penindihan tanah dan tiada sempadan.

“Saya berharap semoga sesi dialog diadakan akan menyelesaikan masalah dihadapi penduduk selama ini,”katanya.

Salah seorang pemilik tanah, Abd Rahman ketika ditemui berkata,  masalah utama yang dihadapi pemilik  tanah adalah mengenai Batu Sempadan masih belum ditanam lagi walaupun kos ukur tanah telah dibayar sekian lama.

Menurutnya, ini sekali gus menyukarkan keluarganya untuk menguruskan tanah dengan baik apabila tiada sempadan tanah dilakukan.

“Saya bimbang orang lain akan menceroboh tanah ini dan mendakwa ia milik mereka,”ujarnya.

Katanya, beliau berharap pihak pejabat tanah dapat mengatasi masalah ini secepat mungkin.

P6252642

“Sewajarnya pembahagian dan penindihan tanah diselesaikan dengan segera memandangkan kami terpaksa menghadapi pelbagai masalah,”tambahnya.

Hadir sama, Pegawai Khas Pusat Khidmat Mayarakat  Dun Gombak Setia, Kamaruzzaman Ismail yang mewakili Adun Gombak Setia, Datuk Dr Hasan Ali.

Sementara itu, Penolong Pegawai Pejabat Daerah Gombak, Shukri Mohd Hamin berkata, tindakan susulan akan diambil melibatkan semua jabatan bagi menyelesaikan masalah dihadapi penduduk dengan kadar segera.

Malah, beliau turut menyarankan kepada pemilik tanah melantik peguam sekiranya menghadapi kesukaran menyelesaikan isu tanah Telegas.

“Dengan pelantikan peguam, tindakan sewajarnya akan diambil mengikut undang-undang yang  ditetapkan,” jelasnya.

P6252621

Manakala, Pembantu Kanan Pejabat Daerah Gombak, Sharul Nizam Kesyora berkata bagi mendapatkan geran, pemilik tanah perlu melunaskan bayaran premium untuk memperolehi geran tanah.

Menurutnya, pendaftaran ini penting bagi memudahkan pengurusan pentadbiran daerah menguruskan pembahagian hak milik.

“Kami berharap isu hak tanah Telegas dapat diselesaikan secepat mungkin,” ujarnya.