Rombakan ahli majlis MBPJ, siapa akan digugurkan?

Rombakan ahli majlis MBPJ, siapa akan digugurkan?

Desas desus siapa bakal dilantik menjawat jawatan ahli majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya sesi 2010/11 (MBPJ) dijangka akan diketahui awal bulan depan.

P29-06-10_11.07

Desas desus  siapa bakal dilantik  menjawat jawatan ahli majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya sesi 2010/11 (MBPJ) dijangka akan diketahui awal bulan depan.

Rombakan melibatkan ahli majlis seramai 24 orang mewakili setiap zon  daerah Petaling Jaya mungkin bakal menyaksikan  beberapa muka lama digugurkan.

Ahli Majlis Zon 24, Halimey Abu Bakar berkata, sehingga kini beliau dan sebahagian ahli majlis yang lain masih menunggu senarai nama tersebut.

Menurutnya, semuanya terserah kepada kerajaan negeri dibawah pentadbiran  pakatan rakyat untuk menilai prestasi  setiap ahli majlis dilantik sebelum ini.

“Penilaian itu melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di setiap kawasan, ketua cabang di peringkat parti serta menerusi respons daripada  penduduk  menilai sejauh mana prestasi kami secara keseluruhan.

“Saya tidak berani untuk memberi komen panjang mengenai rombakan ini kerana tidak tahu siapa bakal gugurkan atau disambung kontraknya. Apa yang penting kami selaku ahli majlis perlu menjalankan amanah diberikan,” katanya ketika ditemui Komunitikini selepas menghadiri mesyuarat penuh MBPJ.

P16-06-10_16.14

Ditanya mengenai tarikh pengumuman perlantikan, beliau memberitahu kemungkinan besar ia akan diumumkan pada minggu depan (6 Julai).

Katanya, perkara itu sudah diputuskan di peringkat kerajaan negeri tetapi tarikh pengumuman mungkin akan dipinda memandangkan ada beberapa dokumen dalam proses akhir penilaian.

“Saya berharap senarai nama  ahli majlis akan diumumkan secepat mungkin kerana tidak mahu sebarang masalah timbul  kelak.

“Tahun lalu, ada antara kami terpaksa menghadapi kesukaran mengakibatkan kerja tertangguh berpunca daripada majlis mengangkat sumpah ahli majlis diadakan lewat daripada tarikh sebenar,” ujarnya.

Sementara itu, ahli majlis Zon 8, Mak Khui Weng  memberitahu banyak pengalaman ditempuhinya  sepanjang tempoh dua tahun menyadang jawatan tersebut.

“Bukan mudah memikul tugas selaku ahli majlis terutamanya bila berhadapan dengan masalah penduduk dan masih banyak lagi yang perlu dipelajari,” katanya kepada Komunitikini.

Ditanya mengenai ura-ura menyatakan bahawa namanya bakal digugurkan dalam senarai nama perlantikan ahli majlis, beliau enggan mengulas lanjut.

“Saya tidak kisah, sama ada dilantik atau tidak, itu semua tidak mengapa kerana saya memegang jawatan ahli majlis pun bukan disebabkan politik.

“Saya masuk (dilantik) sebagai ahli majlis guna tiket parti DAP. Pada hakikatnya saya tidak pernah memegang apa-apa jawatan dalam parti itu,” katanya.