MBPJ perkenal sistem parkir bertingkat mulai 1 Julai

MBPJ perkenal sistem parkir bertingkat mulai 1 Julai

Sistem tempat letak kereta mekanikal bertingkat dijangka dapat mengurangkan kesesakan sekali gus mengatasi kekurangan tempat letak kereta di Petaling Jaya bermula 1 Julai ini.

Pengenalan sistem tempat letak kereta mekanikal bertingkat dijangka dapat mengurangkan kesesakan sekali gus  mengatasi kekurangan tempat letak kereta di Petaling Jaya bermula 1 Julai ini, ujar Timbalan Datuk Bandar, Puasa Md Taib.

Menurut beliau lagi, dalam usaha merealisasikan hasrat tersebut, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama syarikat Vertics Corp Sdn Bhd  akan melaksanakan perkhidmatan  tersebut secara percubaan dalam tempoh tiga bulan.

Katanya, sebagai permulaan MBPJ membina struktur itu setinggi tiga tingkat dan beroperasi dari 8 pagi hingga 6 petang dengan kadar bayaran RM1.50 sejam.

“Matlamat projek ini ialah menambah bilangan parkir terutama di kawasan yang kekurangan tempat meletak kenderaan kerana struktur ini mekanikal ini boleh dibina sehingga enam tingkat.

“Selain itu, struktur ini juga dapat mengelakkan kejadian pecah kereta kerana kenderaan diletakan di bahagian atas,” katanya selepas melancarkan sistem itu, tengah hari tadi.

Hadir sama, Pengarah Urusan Vertics Corp Sdn Bhd, Harmizi Kasim dan Pengerusi Projek berkenaan Cynthia Gabriel.

Puasa berkata, struktur tempat letak kereta mekanikal bertingkat itu juga merupakan yang pertama seumpamanya di kawasan lapang terbuka di negara ini.

Katanya lagi, jika kaedah itu berjaya dan mendapat maklum balas positif daripada penduduk, MBPJ mempunyai pilihan membeli sistem tersebut dan membinanya di beberapa lokasi yang mempunyai masalah kekurangan parkir.

“Antara kawasan yang dikenal pasti mengalami masalah kekurangan parkir ialah Damansara, Damansara Utama dan Seksyen 52.

“Namun, sebelum melaksakannya kita akan mengedarkan borang kaji selidik kepada orang awam bagi mendapatkan maklumbalas keberkesanan sistem ini,” katanya.

Puasa berkata, untuk keterangan lanjut orang ramai boleh menghubungi Jabatan Kejuruteraan MBPJ menerusi talian 03-79584221.