Premis makanan kotor akan diarahkan tutup

Premis makanan kotor akan diarahkan tutup

Mana-mana premis yang gagal mematuhi peraturan berkaitan kebersihan akan dikenakan tindakan termasuk diarahkan tutup mengikut tempoh yang ditetapkan.

Mana-mana premis yang gagal mematuhi peraturan berkaitan kebersihan akan dikenakan tindakan termasuk diarahkan tutup mengikut tempoh yang ditetapkan.

Penolong pegawai kesihatan Majlis Perbandaran Klang (MPK), Amran Ismail berkata,antara kesalahan yang sering dilakukan oleh pemilik kedai makan ialah tiada perangkap minyak, menggunakan lorong belakang untuk membasuh pinggan mangkuk dan pelbagai masalah melibatkan kebersihan.

Menurutnya,majlis menggunakan sistem penggredan untuk menilai tahap kebersihan sesebuah premis dan pihaknya juga akan memperhebatkan operasi dari masa ke semasa.

“Mana-mana premis yang didapati gagal mematuhi arahan akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15, Undang-Undang Kecil (UUK), Pelesenan, Establishment Makanan 2007 dan diberi notis selama empat belas hari.

“Operasi yang diadakan juga melibatkan beberapa jabatan dan turut mendapat kerjasama daripada pejabat kesihatan daerah (PKD) Daerah Klang” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan operasi di sekitar Bandar Baru Klang,di sini.

Hadir sama ialah ahli majlis,Yew Boon Lai dan pegawai serta kakitangan yang terlibat.

Menurutnya, beberapa premis sebelum ini di Bukit Tinggi diarahkan tutup kerana gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan majlis dan pemantauan sentiasa diadakan bagi memastikan kesalahan itu tidak berulang.

Amran berkata, tahap kesedaran di kalangan pengusaha kedai makan masih rendah dan ini menyebabkan tahap kebersihan agak teruk terutama di restoran 24 jam yang beroperasi.

“Majlis sentiasa mengadakan pemantauan secara berterusan terutama pada restoran-restoran yang dikenal pasti mempunyai tahap kebersihan yang agak rendah.

“Selain daripada itu, kita juga akan mengadakan pemeriksaan secara teliti pada Ramadhan ini terutama di lokasi-lokasi tumpuan pengunjung bagi memastikan tahap kebersihan premis terjaga” katanya.