Pengunjung pertikai mutu perkhidmatan MBPJ

Pengunjung pertikai mutu perkhidmatan MBPJ

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) disaran memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk di daerah ini.

Ia berikutan aduan diterima oleh pengunjung mengenai mutu perkhidmatan didapati kurang memuaskan.

Salah seorang penduduk Y.C. Lim ,46, menetap di Petaling Jaya berkata, MBPJ sewajarnya mengimplikasikan slogan `mesra cepat dan tepat` kepada pelanggan dengan lebih efektif.

Namun, menurutnya slogan yang digunapakai oleh pihak berkuasa tempatan itu tidak seperti yang digambarkan.

“Saya diberitahu oleh pihak MBPJ supaya hadir ke ibu pejabat bagi mengemukakan bantahan cukai harta jam 12.30 tengah hari tetapi sehingga jam 1.30 tengah hari saya hanya duduk menunggu.

“Perkara sedemikian tidak sepatutnya terjadi, mereka kena fikir kerana kita juga mempunyai kerja lain, sepatutnya mereka memberikan perkhidmatan berdasarkan slogan diamalkan selama ini,” katanya yang enggan mahu gambarnya diambil.

Bagi penduduk sekitar daerah Petaling Jaya yang hanya mahu dikenali sebagai Mr Law, 55, beliau terpaksa mengambil masa yang lama kira-kira sejam setengah sebelum mengemukakan bantahan kepada jawatankuasa MBPJ.

“Sepatutnya masa yang  diperuntukkan dan paling minima adalah sekitar 10 hingga 15 minit untuk mendengar bantahan dari setiap penduduk.

“Saya terpaksa menunggu lama, ia tidak begitu praktikal, sewajarnya pihak MBPJ menambahbaik mutu perkhidmatan mereka” katanya ketika ditemui Komunitikini.

Difahamkan tuntutan cukai taksiran bagi setengah tahun pertama 2010 telah pun dikeluarkan di mana pemilik harta diminta menjelaskan cukai taksiran selewat-lewatnya akhir bulan Ogos ini.

Sekiranya pemilik harta engkar, harta mereka akan disita termasuk membayar kos waran tahanan.

Kira-kira 40 orang penduduk daerah Petaling Jaya memiliki harta dikehendaki membayar cukai taksiran bergantung kepada pemilikan jenis harta.

Tujuan mesyuarat tertutup itu diadakan bagi menerangkan kepada pembantah mengenai cukai pintu di mana pihak media tidak dibenarkan menghadiri sepanjang berlangsungnya mesyuarat tersebut.