104 pemohon terima dana Industri Kecil Selangor

104 pemohon terima dana Industri Kecil Selangor

Jawatankuasa Pemilihan Dana Industri Kecil Negeri Selangor menerima sebanyak 474 permohonan untuk Program Dana Industri Kecil.

Jawatankuasa Pemilihan Dana Industri Kecil Negeri Selangor menerima sebanyak 474 permohonan diterima untuk mendapatkan bantuan dana melalui Program Dana Industri Kecil.

Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata, hasil daripada penelitian permohonan, hanya 104 pemohon telah layak dan dipertimbangkan untuk menerima bantuan.

Menurutnya, pemohon yang layak seterusnya akan dinilai semula dan akan ditemuduga bagi menentukan jenis peralatan atau mesin yang akan diterima.

“Pemohon yang layak juga wajib menghadiri kursus keusahawanan sebelum surat tawaran dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Yaakob berkata, dana sejumlah RM1juta diperuntukkan untuk membantu industri kecil yang berpotensi maju bagi meningkatkan pendapatan pengusaha. Dana tersebut akan disalurkan untuk tujuan pembelian mesin dan peralatan sahaja.

Katanya, pemohon yang tidak layak mendapatkan dana bantuan daripada program ini akan dipanjangkan ke skim-skim bantuan lain yang bersesuaian dengan perniagaan pemohon.

“Prosedur kerja bagi pelaksanaan Program Dana Industri Kecil ini telah diaudit oleh SIRIM dan dianugerahkan Sijil MS ISO 2000 tanpa Ketidakakuran (NCR),”ujarnya.