Remaja paling ramai maut dalam kemalangan jalan raya

Remaja paling ramai maut dalam kemalangan jalan raya

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati golongan remaja paling ramai mati dalam kemalangan jalan raya iaitu yang berusia 16 dan 20 tahun.

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati golongan remaja paling ramai mati dalam kemalangan jalan raya iaitu yang berusia 16 dan 20 tahun.

Menurut statistik polis, sebanyak 889 orang remaja maut pada 2006 akibat kemalangan jalan raya , 748 orang pada 2007 seterusnya meningkat pada tahun 2008 iaitu sebanyak 1149 orang remaja terkorban dalam nahas jalan raya.

Ketua Pengarah MIROS Prof Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah dalam satu kenyataan berkata, perkara ini amat membimbangkan pihak MIROS ekoran daripada peningkatan jumlah kematian dan pihaknya menuntut agar langkah keselamatan dan pelbagai inisiatif untuk keselamatan pengguna muda jalan raya perlu dikaji semula dengan segera.

Tambahnya lagi, kebanyakan mangsa yang terkorban terdiri daripada penunggang motosikal diikuti dengan pemandu kereta dan kenderaan lain.

Dr Ahmad Farhan berkata sejumlah 3,898 kemalangan maut yang dicatat pada 2008 melibatkan penunggang motosikal dan jumlah ini meningkat kepada 4,067 pada 2009.

“Setiap hari, contoh remaja yang memandang remeh tentang keselamatan jalan raya dapat dilihat dengan ketara apabila kebanyakan mereka yang menunggang motosikal tidak memakai topi keledar, terutama di luar bandar dan kawasan perumahan, tidak memakai topi keledar dengan kemas dan memandu secara berbahaya serta tidak mengamalkan etika sewajarnya semasa di jalan raya,” kata beliau.

Ujarnya lagi, ibu bapa harus bersikap tegas supaya tidak membenarkan anak mereka yang tidak mempunyai lesen dan juga di bawah umur menunggang motosikal atau memandu kereta di jalan raya kerana perbuatan ini bukan sahaja membahayakan nyawa malah keselamatan pengguna jalan raya yang lain turut terancam – Bernama