Penduduk Taman Selayang terkilan tiada pembelaan

Penduduk Taman Selayang terkilan tiada pembelaan

Penduduk Taman Selayang resah kebajikan mereka seolah tidak diendahkan Majlis Perbandaran Selayang.

Terkilan dan geram: begitulah perasaan penduduk Taman Selayang di Jalan 7 apabila aduan kesesakan lalulintas yang dibuat sejak 2007 lalu kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) tidak mendapat tindakan sewajarnya.

Malah penduduk mendakwa jalan perumahan yang dahulunya aman sejak 30 tahun lalu sudah tidak selamat lagi gara-gara menjadi jalan alternatif kepada penduduk daripada Kampung Laksamana, Kampung Nakhoda dan Taman Amaniah.

Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Taman Selayang, Hamid Rani, 74, berkata pihaknya sudah memaklumkan kepada Majlis Perbandaran Selayang (MPS) tetapi kecewa dengan surat jawapan diberikan menyatakan jalan tersebut adalah jalan awam.

Menurutnya seawal jam 7 pagi sehingga 9 malam jalan ini sesak dengan pelbagai kenderaan dan berkemungkinan hampir 300 buah kenderaan melalui kawasan ini setiap hari.

“Namun setelah diajukan masalah, tiada jalan penyelesaian dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan. Sampai bila penduduk harus bersabar?

“Sabar kami ada batasannya tetapi jangan sampai penduduk mengambil langkah yang tidak baik sehingga mencemarkan imej MPS sendiri dalam memberi khidmat kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, ahli jawatankuasa penduduk Taman Selayang, Tajudin Uri, 64,  berharap MPS turun padang dan melihat dengan mata sendiri mengenai tahap keselamatan penduduk di sini.

Menurutnya, penduduk merasakan diri mereka tergugat berikutan sebelum ini pihaknya telah menerima banyak aduan daripada penduduk kejadian kes pecah rumah, ugutan dan kenderaan dipecah oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, selain itu, pengusaha kedai makan di Jalan 10 tidak mengutamakan kebersihan kerana tiada pemantauan dilakukan oleh pihak berwajib.

“Rakyat sudah membuat bayaran cukai pintu setiap tahun, tetapi kecewa apabila mendapati mutu perkhidmatan diberikan tidak setimpal.

“Sebelum ini banyak aduan mengenai kerosakan di kawasan taman permainan sekali gus mengundang bahaya kepada kanak-kanak.

“Malah, sudah hampir 20 tahun tiada kerja penyelenggaran alat permainan di taman ini.Ia merbahayakan kanak-kanak yang menggunakan peralatan ini,”katanya.

Tajuddin berkata, MPS juga perlu membina bonggol di setiap jalan kerana kerap berlaku kemalangan melibatkan penduduk di kawasan ini.

Menurutnya, penduduk merasa hairan, kalau di peringkat kawasan Gombak, Hulu Klang ada peruntukan MPS untuk perbaiki & menaiktaraf insfrastruktur.

Beliau bertanya mengapa di kawasan Batu Caves dibawah kerajaan Pakatan Rakyat dikatakan tiada peruntukan?

“Ini sama sekali tidak adil pada kami. Mengapa tiada peruntukan diberikan MPS kepada kami?

“Hal tersebut telah kami ajukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeir (Adun) Batu Caves, Amiruddin Shaari dan Ahli Majlis MPS Zon 13 namun jawapan diberikan tidak praktikal.

Cadangan penduduk kepada MPS

Sehubungan itu, penduduk Taman Selayang memberi cadangan kepada MPS agar turun padang membuat pembahagian  pagar atau palang di penghujung jalan berhampiran Apartment Sri Astana.

Langkah ini bertujuan untuk mengurangkan kesesakan kenderaan melalui jalan 7 sebagai jalan pintas mereka.

Selain itu, pihak MPS harus menyediakan jalan alternatif lain (bersebelahan jalan 20) supaya ianya bersambung dengan jalan berhadapan apartment Sri Astana tersebut.

Pelebaran jalan perlu dilakukan sehingga ke kawasan berhadapan pejabat Jalan Pembangunan Hasil Makmur Sdn Bhd yang mana bangunan tersebut sepatutnya menjadi bangunan sementara sahaja dan dirobohkan selepas projek tersebut siap.

Jika segala cadangan tidak diendahkan, maka resolusi terakhir penduduk adalah dengan mengajukan masalah ini kepada pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Hassan Ali.

“Kami tiada pilihan lain, beliau harus mengatasi masalah kami hadapi serta turun padang untuk membantu mengatasi kemelut yang tiada jalan penyelesaian sejak 2007 lalu,” kata Tajudin.