Penduduk PJ bantah projek pembinaan Seksyen 52

Penduduk Petaling Jaya membantah cadangan projek pembinaan Seksyen 52 selepas menghadiri mesyuarat tertutup dibawah Local Agenda 21 di Ibu Pejabat MBPJ, lewat petang semalam.

Pendirian bantahan disuarakan oleh Presiden Seluruh Persatuan Penduduk Petaling Jaya (Apac) diwakili oleh Liew Wei Beng di Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Suasana sepanjang sidang media berlangsung dalam keadaan agak panas apabila masing-masing kelihatan seperti bertegang urat mahu menyuarakan pandangan dan pendapat mengenai isu tersebut.

Pihak media terpaksa menunggu sehingga 2 jam sebelum sidang media bermula.

Komunitikini mendapati Datuk Bandar MBPJ, Mohamad Roslan Sakiman tiada semasa mesyuarat tersebut dan dipengerusikan oleh Ahli Majlis MBPJ, Derek Fernandez.

Projek pembinaan melibatkan usahasama Puncak Wangi Sdn Bhd dan PKNS untuk membina satu blok pejabat 27 tingkat, 3 blok pejabat/institusi antara 22 hingga 27 tingkat, 2 blok hotel 22 tingkat, 2 blok servis apartmen 22 tingkat di atas 6 tingkat podium perniagaan/tempat letak kereta serta 4 1/2 tingkat bawah tanah tempat letak kereta di atas lot 8 dan 12.

Namun, ia mendapat reaksi negatif daripada persatuan penduduk yang tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Rata-rata mereka ditemui Komunitikini menyifatkan cadangan pembinaan pembangunan tidak akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada penduduk sebaliknya menimbulkan masalah pada masa hadapan.

Presiden Persatuan Penduduk Seksyen 5, Johan Tung Abdullah, berkata  penduduk menentang pelaksanaan projek pembinaan  kerana ia mempunyai kompleks membeli belah berdekatan seperti Amcorp mall.

Menurutnya, sekiranya dibina kesan masalah kesesakan jalan raya akan bertambah.

“Kita tidak menolak pembangunan dirancang untuk kemudahan dan kesenangan penduduk pada masa hadapan,tetapi cadangan pembinaan ini tidak wajar,”katanya.

Turut berkongsi pendapat yang sama ialah Tommy Thomas melahirkan perasaan kebimbangan kesesakan jalan raya bakal dihadapi penduduk berhubung pembinaan projek itu.

“Sewajarnya mereka perlu mengemukakan cadangan pembinaan projek kepada penduduk terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan,”katanya.

Dalam perkembangan lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Gasing, Edward Lee berkata MBPJ perlu bersikap telus dengan memaklumkan cadangan projek pembinaan kepada orang awam.

Beliau mendapati tiada sebarang notis pemberitahuan dikeluarkan dan terpandang papan tanda berhampiran kompleks tersebut.

Menurutnya, sekali imbas, pasti orang ramai tidak perasaan mengenai kewujudan papan tanda terletak di hujung selekoh jalan.

Edward hanya menyedari kewujudan papan tanda seminggu sebelum tarikh bantahan 25 Mei lalu.

“Saya percaya sehingga kini tiada bantahan diberikan oleh penduduk.

“Persoalan yang timbul disebalik tindakan tersebut,adakah MBPJ cuba menyembunyikan sesuatu mengenai projek ini kepada umum,”katanya.

Katanya, pemaju dan PKNS perlu mengadakan perbincangan bersama penduduk dan pemilik premis berdekatan terlebih dahulu sebelum merancang untuk melaksanakan projek pembangunan.

“Sekiranya pembinaan dilaksanakan sudah pasti kesesakan lalu lintas menjadi masalah utama kerana jalan utama akan bertambah teruk,”ujarnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Tunku, Lau Weng San berkata rancangan pembinaan itu merupakan sebahagian projek daripada pembaharuan bandar.

Menurutnya, pembinaan itu akan dijalankan sekali gus dengan peningkatan infrastruktur dan prasarana di kawasan ini.

Katanya,  kenapa Seksyen 52 dipilih adalah kerana ia berdekatan LRT serta lebuh raya persekutuan.

“Penduduk tidak perlu cemas kerana masih diperingkat awal dan boleh mengemukakan bantahan.

“Saya percaya pembinaan akan dilaksanakan secara kolektif di seluruh kawasan Petaling Jaya,” ujarnya.