Pihak berwajib `gempur` tiga premis kafe siber judi

1.

Tiga premis kafe siber disyaki beroperasi secara haram di Seksyen 1 dan Seksyen 11 `digempur` pihak berwajib bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam satu serbuan, di sini semalam.

Baru-baru ini dalam laporan Komunitikini mendedahkan kewujudan premis kafe siber judi setelah mendapatkan maklumat daripada orang awam.

Pengarah Penguatkuasaan MBPJ, Mohd Fauzi Maarop  berkata,  kesemua premis yang digempur didapati menjalankan aktiviti perjudian selain beroperasi tanpa permit sah.

5.

Menurutnya, kawasan ini juga dikesan sebagai lokasi `panas` dan sentiasa mendapat pemantauan berterusan daripada MBPJ.

“Dan pada hari ini (semalam), kita melakukan serbuan setelah mendapati premis berkenaan menjalankan aktiviti berunsur perjudian,” katanya.

Turut sama dalam operasi bersepadu bersama Bahagian Maksiat, Kongsi Gelap dan Perjudian (D7), Ibu Pejabat Polis (IPD) Petaling Jaya itu adalah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Balai Bomba Jalan Penchala.

3.

Menurutnya, kesemua pengusaha premis terbabit dikenakan tindakan di bawah Undang-Undang Kecil Kafe Siber MBPJ (2007) selain kompaun RM1,000.

“Sekiranya didakwa di mahkamah dan didapati bersalah, mereka boleh dikenakan denda maksimum RM2,000.

4.

“Dalam serbuan ini juga, tiga lelaki yang bekerja sebagai penjaga kaunter ditahan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

6.

Pada serbuan itu, sebanyak 104 unit monitor dan 114 unit CPU berjaya disita.

Manakala, pihak TNB memotong bekalan elektrik di dua premis kafe siber yang beroperasi di Seksyen 1.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam MBPJ, Zainun Zakaria ketika dihubungi Komunitikini berkata, orang awam digesa menyalurkan maklumat berhubung aktiviti perjudian di kafe siber kepada pihak majlis.

Menurutnya, kerjasama orang ramai dalam membanteras kegiatan itu  amat diperlukan agar usaha memerangi aktiviti perjudian di kawasan pentadbiran MBPJ dapat dihapuskan.

“Kita amat berharap penduduk sekitar dapat memaklumkan kepada MBPJ jika mengetahui lokasi atau premis yang menjalankan aktiviti perjudian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti tersebut boleh menghubungi unit aduan MBPJ menerusi talian 03-7954 2020 atau 03-7958 2200,”katanya.