Curi pasir: S`gor perlu kaji semula sistem penguatkuasaan agensi

Kerajaan negeri perlu mengkaji semula sistem penguatkuasaan dan pelaksanaan  pelbagai agensi dalam usaha melumpuhkan kegiatan mencuri pasir di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Damansara, Dr Nasir Hashim berkata mesyuarat khas melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), polis dan agensi kerajaan seperti Pejabat Tanah dan Galian seharusnya dilaksanakan bagi mengenalpasti bagaimana isu kecurian pasir boleh berlaku.

Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan tidak timbul ketirisan maklumat mengenai aktiviti mencuri pasir supaya dapat diselesaikan secara menyeluruh.

“Pada pendapat saya, tindakan kerajaan negeri menawarkan ganjaran RM,5000 kepada pemimpin masyarakat dan kakitangan kerajaan merupakan satu langkah yang wajar.

“Tetapi lebih elok sekiranya kerajaan negeri memberikan hadiah yang lain selain ganjaran wang ringgit,” katanya ketika dihubungi Komunitikini, pagi tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim semalam mengumumkan ganjaran RM5,000 pemimpin masyarakat dan kakitangan kerajaan yang berjaya melumpuhkan kegiatan mencuri pasir di kawasan mereka.

Katanya lagi, mesyuarat exco kerajaan negeri bersetuju menawarkan ganjaran itu sebagai insentif ekoran aktiviti mencuri pasir kini telah menguasai 75 peratus pasaran.

Dalam pada itu, Nasir turut mencadangkan sekiranya mahukan penglibatan menyeluruh daripada rakyat bagi melumpuhkan kegiatan mencuri pasir di negeri ini, kerajaan negeri perlu menjaga kebajikan dan menyelesaikan masalah rakyat terlebih dahulu.

“Ini merupakan satu permulaan yang baik buat Kerajaan Negeri dan rakyat di peringkat akar umbi, dalam konteks ini, rakyat harus didekati dan masalah mereka berhubung isu perumahan dan lain-lain lagi harus diselesaikan,” katanya.

Selain itu, beliau mahu kerajaan negeri memberi jaminan keselamatan individu memberi maklumat sehingga terbongkar kegiatan mencuri pasir.

“Apa yang kita ketahui, mereka yang terlibat dalam kegiatan mencuri pasir terdiri daripada kumpulan samseng dan tonto, kita khuatir keselamatan diri dan keluarga mereka terancam,”katanya.

Jelasnya, usaha ini penting kalau kita mahu rakyat turut serta memberikan maklumat kerana pasir adalah milik rakyat dan kerajaan negeri.

Nasir berkata, sebagai satu pencegahan, pesalah pencuri pasir sewajarnya dikenakan hukuman lebih berat bagi memastikan mereka serik untuk melakukan aktiviti mencuri pasir.

“Tidak memadai dengan hukuman ringan seperti kompaun kerana mereka memperolehi pendapatan berjuta-juta ringgit menerusi kegiatan haram ini,” katanya.