MBPJ bapa angkat atlet SUKMA 2010

Image0243

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) diberi pengiktirafan menjadi bapa angkat kepada atlet Selangor yang akan bertanding dalam kejohanan Sukan Malaysia Melaka(SUKMA) 2010 pada 7 hingga 19 Jun ini.

Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Puasa Md Taib berkata,  lima sukan yang dipilih menjadi anak angkat MBPJ  ialah permainan badminton, skuasy, tenis, lumba basikal dan  golf.

Menurutnya,  Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) menyasarkan sebanyak 60 pingat emas untuk diraih atlet Selangor pada kejohanan kali ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada  MSNS kerana memberi kepercayaan kepada MBPJ untuk mengambil anak angkat atlet SUKMA ke 10 ini,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada Komunitikini dalam satu majlis suai kenal meraikan atlet SUKMA  di Ibu Pejabat MBPJ, tengahari tadi.

Puasa berkata, sebanyak RM1500 diperuntukan bagi menyuntik semangat pengurus dan atlet yang akan bertanding sepanjang berlangsungnya kejohanan.

Dalam majlis itu, beliau turut mengingatkan setiap atlet  supaya menjaga tingkah laku serta menanam semangat juang yang tinggi  bagi menjaga nama baik pasukan dan negeri.

“Dua elemen tersebut merupakan perkara penting  perlu disematkan dalam diri setiap atlet yang bertanding untuk mencapai kemenangan pada kejohanan tersebut,”katanya.

Difahamkan sejumlah 1410 pingat dipertandingkan  pada SUKMA 10 di mana bagi acara badminton sebanyak  21 pingat, skuasy 12 pingat, tenis 28 pingat, berbasikal 54 pingat dan  golf  sebanyak 12 pingat.