Akibat ingin buang sial, enam wanita tertipu RM625,000

Kerana percaya dengan satu kumpulan yang boleh membantu membuang sial, enam wanita berusia dalam lingkungan 40-an tertipu sebanyak RM625,000 sejak tahun lepas.

Memetik daripada laporan Bernama baru-baru ini, Pengerusi Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Datuk Michael Chong berkata kes terbaru melibatkan seorang wanita yang dikenali sebagai Goh yang kerugian kira-kira RM72,700 termasuk barangan kemasnya.

“Goh didatangi tiga wanita rakyat China yang mendakwa dia akan ditimpa bala jika tidak melakukan upacara menolak bala di sebuah bank di SS2, Petaling Jaya pada pukul 9 pagi, 30 April lepas,” katanya kepada pemberita di Wisma MCA, Jalan Ampang di sini.

Beliau berkata Goh yang telah dipukau, secara sukarela menyerahkan wang tunai berjumlah RM2,700 serta barang kemas bernilai RM70,000 dan sebagai pertukaran, dia diberikan sebuah beg yang berisi dua botol air dan dua paket garam.

Chong berkata sejak tahun lepas, sebanyak enam kes seumpama itu yang melibatkan golongan wanita dalam lingkungan umur 40 hingga 60 tahun dilapor kepada biro terbabit.

“Sindiket itu biasanya beroperasi di hospital dan bank…apabila mereka dapati ada kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu mereka bertukar lokasi iaitu di kawasan pasar awam,” katanya.

Beliau berkata modus operandi yang mereka lakukan ialah dengan mensasarkan wanita yang berusia dan mendakwa boleh membantu membuang sial yang kononnya melekat pada diri mangsa.

Chong meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sindiket itu agar tampil membuat aduan kepada biro atau terus membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.