Pertingkatkan prestasi perkhidmatan MPS

Pertingkatkan prestasi perkhidmatan MPS

Alkisah mesyuarat Majlis Perbandaran Sepang yang turut dihadiri Komunitikini.

3

“Majlis Perbandaran Sepang (MPS) harus tunjukkan peningkatan prestasi dalam pentadbiran mahupun perkhidmatan terhadap rakyat,” kata salah seorang ahli MPS, Encik Wong Chuan How dalam ucapan penangguhannya pada mesyuarat penuh MPS hari ini.

Menurutnya lagi: “Setelah dua tahun saya berkhidmat dalam MPS, telah banyak peningkatan dalam pentadbiran MPS, namun pihak MPS masih belum lagi menawarkan perkhidmatan yang cekap.”

Hal ini kerana masih terdapat lagi aduan daripada penduduk mengatakan mereka disusahkan oleh pihak MPS.

Tambahnya lagi, masih lagi wujud pihak MPS yang tidak bertanggungjawab dengan mengenakan bayaran tambahan yang tidak sewajarnya atas alasan untuk mempercepatkan proses ataupun maklum balas daripada MPS.

Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dalam kalangan pegawai MPS kerana ia melibatkan reputasi pentadbiran MPS terhadap penduduk bak kata pepatah “kerana setitik nila rosak susu sebelanga”.

Beliau juga berharap pihak MPS berganding bahu dengan pihak polis dalam mengawal pusat- pusat hiburan dan juga cafe internet.

Kata-kata beliau dijadikan ingatan agar pihak MPS sentiasa beringat bahawa mereka adalah milik awam yang diamanahkan oleh penduduk.

Begitu juga dalam ucapan penangguhan seorang lagi ahli MPS, Encik Titus Gladwy A/L S G Gomez turut berkata “perkhidmatan oleh MPS haruslah cergas, melaksanakan tindakan dengan cepat perlu dipertingkatkan lagi seiring dengan mesra rakyat.”

Mesyuarat tersebut membentangkan semua projek bagi setiap jabatan di MPS.

Bajet MPS juga dibentangkan oleh pihak bendahari MPS dan perbandingan juga dibuat berdasarkan belanjawan tahun ini dan juga tahun lepas.

Beberapa isu penting yang disentuh dalam mesyuarat tersebut, iaitu isu kebersihan yang harus dititikberatkan lagi oleh pihak MPS.

Pihak MPS akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana premis yang bergred “D” selepas pemeriksaan dibuat dengan menarik balik lesen perniagaan premis tersebut.

Gred “C” masih boleh dipertimbangkan lagi dengan memberi surat amaran untuk mepertingkatkan lagi tahap gred kebersihan pada pemeriksaan akan datang.

Menurut salah seorang ahli majlis, kedai makan Taman Seroja boleh dijadikan model kebersihan kepada semua premis yang menjalankan perniagaan di sekitar Sepang ini.

Pembentangan dibuat mengenai kertas cadangan projek membayar elaun ‘handphone’ untuk ahli-ahli majlis MPS yang akan berkuatkuasa pada 1Jun 2010.

Mesyuarat ditangguhkan dengan ucapan terima kasih oleh pengerusi majlis dengan harapan agar pihak MPS akan sentiasa mara ke hadapan.