Laluan pejalan kaki kotor cemar pemandangan

Persatuan Penduduk  Badan Pengurusan Bersama (JMB) Hartamas Regency 2 menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil tindakan segera di sepanjangan laluan pejalan kaki dilihat  kotor  sekali gus mencemarkan pemandangan.

Setiausahanya, Jeyne Sarritzu berkata, pihaknya sudah mengemukakan aduan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) namun tiada sebarangan tindakan  dilakukan sejak tiga minggu yang lalu.

“Apa yang menghairankan, semasa lawatan rasmi Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M Saravanan baru – baru ini ke Mont Kiara, hanya jalan tersebut dibersihkan sedangkan jalan persiaran Dutamas diabaikan.

“Kami telah mengajukan masalah tersebut, tetapi tiada sebarangan tindakan, sampai bila kami harus menunggu, malah kami mendapati walaupun sudah dua tahun mendiami di kawasan ini namun tiada kerja pembersihan dilakukan di sepanjang jalan tersebut,”katanya.

P18-05-10_13.30

Tinjauan Komunitikini di sekitar kawasan perumahan tersebut mendapati, di sepanjang laluan pejalan kaki dipenuhi dengan sampah sarap seperti bekas plastik minuman serta lalang yang tidak dibersihkan  memburukkan lagi keadaan sekitar kawasan tersebut.

Sementara itu, salah seorang pegawai Seksyen Khidmat Pelanggan Unit Komunikasi Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ketika dihubungi Komunitikini hari ini mengesahkan menerima aduan menerusi email.

Menurutnya pihak DBKL  sedang meneliti laporan tersebut sebelum mengambil tindakan susulan dalam masa terdekat.

“Sebarang pertanyaan sila hubungi DBKL Call Center di talian 1800 88 3255. Untuk tindakan susulan harap dapatlah  menggunakan nombor aduan 28493.013943 sebagai rujukan,”katanya.