MBPJ tubuh QRT tangani aduan penduduk

DSC_0290

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) serius dalam menangani aduan dan rungutan penduduk di sekitar bandar raya ini.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman, berkata semua aduan dan rungutan penduduk seperti pokok tumbang, jalan berlubang dan sebagainya akan diambil tindakan segera.

Menurutnya, MBPJ akan menghantar Quick Response Team (QRT) atau Pasukan Bertindak Cepat yang baru dilancarkan awal tahun ini ke lokasi aduan dalam masa 48 jam bagi menangani aduan awam.

“Pasukan ini akan dibahagikan kepada tiga bahagian dan diketuai Pengarah Jabatan Kejuruteraan di mana setiap kumpulan mempunyai ketua unit masing-masing yang bertanggungjawab dalam mengambil tindakan menyelesaikan aduan.

Masalah selesai dalam tempoh 48 jam

“Pasukan ini hanya diberikan masa 48 jam untuk menyelesaikan setiap aduan dan fokus utamanya ialah  memperbaiki segera aduan berkaitan lampu jalan, jalan berlubang, lampu isyarat dan pokok tumbang yang dikemukakan penduduk,”katanya ketika ditemui selepas melawat kerja-kerja QRT baru-baru ini.

datuk bandar

Mohamad Roslan berkata, pasukan tersebut disediakan dengan pelbagai kelengkapan bagi memastikan setiap aduan dikemukakan penduduk dapat diatasi dengan berkesan dan efisyen.

Menurutnya, dengan tertubuhnya pasukan ini diharap dapat membantu penduduk menyelesaikan aduan dan masalah di kawasan masing-masing.

Disamping itu, ujar beliau lagi, setiap aduan diterima akan diteliti terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil dan ia mengikut keutamaan kes diutarakan penduduk.

“Setiap aduan yang dikemukakan penduduk akan diteliti sebelum tindakan diambil mengikut keutamaan bagi setiap kes.

“Bagaimanapun, jika masalah itu terlalu rumit untuk diselesaikan pasukan ini,  barulah jabatan sepatutnya bertindak dan masing-masing akan bekerjasama mengatasi aduan terbabit,”katanya.

Mohamad Roslan berkata, bagi penduduk yang mempunyai aduan serta masalah boleh mengajukannya menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip mbpjaduan, jenis aduan dan hantar ke 33733 ataupun hubungi talian bebas tol MBPJ di 03-79542020.