Tempoh permit ikut had usia

Tempoh permit ikut had usia

Tempoh memperbaharui permit teksi individu adalah berdasarkan had usia kenderaan daripada tahunnya diluluskan.

Pegawai Perhubungan Awam Lembaga, Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Nurul Insyirah Mohd Ishah dalam satu kenyataan media  berkata, buat masa ini tempoh maksima untuk memperbaharui permit lesen teksi individu ialah tujuh tahun pertama.

Manakala katanya, LPKP memberi dua tahun tempoh lanjutan dan had usia kenderaan pula tidak melebihi 10 tahun.

“Untuk makluman, mengikut Pekeliling LPKP bilangan 2/2009, dilampirkan garis panduan penggunaan lesen baru teksi individu pada tarikh dikeluarkan 27 Mac 2009.

“Berdasarkan pekeliling ini, tempoh memperbaharui permit teksi individu ialah berdasarkan had usia kenderaan dari tahun diluluskan,” katanya.

Menurutnya, maklumat lengkap mengenai jadual tempoh lesen boleh dirujuk di www.lpkp.gov.my dan semak pada ruangan Pekeliling.

Dalam perkembangan lain, LPKP katanya, telah membuka 3000 permohonan bagi lesen teksi individu Lembah Klang bermula 13 Julai 2009 hingga 31 Disember 2010 dan melakukan hebahan melalui siaran akhbar dan portal LPKP.

Menurutnya, daripada tempoh itu sebanyak 5,954 permohonan telah diterima dan diproses serta beberapa tapisan kriteria pemarkahan telah dilakukan antaranya pengalaman lima tahun keatas, mempunyai tanggungan empat orang anak atau lebih dan tiada rekod jenayah dan saman daripada LPKP, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Oleh yang demikian, LPKP sentiasa mengutamakan pemberian lesen teksi kepada pemandu teksi yang berpengalaman dan mempunyai rekod bersih.

“Sebanyak 60 dari 5,954 permohonan lesen teksi individu tersebut telah ditolak kerana mempunyai rekod jenayah selepas disemak rekod PDRM,” katanya.