Terminal bas Jalan Hang Tuah beroperasi Sabtu ini

Terminal bas Jalan Hang Tuah akan digunakan sepenuhnya bagi operasi bas ekspres jarak dekat untuk perjalanan ke Seremban dan Tanjung Malim mulai Sabtu ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib, berkata langkah ini berikutan penutupan Hentian Puduraya selama empat bulan sejak 12 April lepas, untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pengubahsuaian.

“Manakala penggunaan terminal sementara bas ekspres Bukit Jalil di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil adalah untuk perjalanan bas-bas ekspres jarak jauh,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pembinaan terminal bas Jalan Hang Tuah sebagai ”holding bay” yang menyediakan perkhidmatan bas di Kompleks Puduraya bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jalan Tun Tan Cheng Lock berdekatan Pasar Seni yang sebelum ini adalah hentian bas ekspres jarak dekat.

Selain ini, katanya, terminal itu yang terletak bersebelahan bangunan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) dan berdekatan Jalan Galloway dilengkapi dengan 12 tempat letak bas berserta sebuah bangunan yang menyediakan kemudahan tandas awam, surau, kantin dan ruang rehat termasuk kira-kira 120 petak tempat letak motosikal.

“Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan bas ekspres jarak dekat di terminal bas itu boleh menggunakan kemudahan seperti stesen LRT Hang Tuah, stesen Monorel Hang Tuah, bas perantaraan yang disediakan RapidKL dan perkhidmatan teksi,” katanya.

Menurutnya, sebarang keterangan lanjut boleh didapati dengan menghubungi Jabatan Pengangkutan Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di talian 03-26144222 atau 1-800-88-3255. – Bernama