Lelaki muda boros?

Wanita sering dikaitkan dengan hobi ‘membuang duit’ iaitu membeli-belah, namun hakikatnya lelaki muda merupakan golongan yang paling ramai dibelenggu hutang kerana kegagalan menguruskan kewangan.

Golongan itu mula mengumpul hutang sejak awal bekerja dan apabila berumah tangga, hutang semakin menimbun sehingga gagal dibayar menyebabkan mereka terpaksa mendapatkan khidmat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk keluar daripada masalah itu.

Menurut statistik yang dikeluarkan AKPK, dari 2007 hingga Februari 2010, seramai 25,107 atau 69 peratus daripada 36,547 pelanggan perkhidmatan pengurusan kredit di agensi itu adalah lelaki.

Lelaki berusia 30 hingga 40 tahun merupakan golongan yang paling tinggi iaitu 44.6 peratus atau 16,286 orang mendapatkan khidmat itu bagi melangsaikan hutang masing-masing diikuti 14,622 orang golongan berusia lebih 40 tahun (40 peratus) dan 5,639 orang golongan berusia antara 20 hingga 30 tahun (15.4 peratus).

Golongan yang berkahwin paling ramai mendapatkan khidmat itu iaitu 28,068 orang (76.8 peratus) diikuti bujang seramai 6,260 orang (17.1 peratus) dan bercerai seramai 1,508 orang (4.1 peratus) sementara kematian pasangan seramai 711 orang (dua peratus).

Menurut statistik itu, masing-masing 25 peratus punca golongan tersebut tidak mampu membayar balik pinjaman adalah disebabkan kegagalan merancang kewangan sejak mula bekerja dan perbelanjaan perubatan yang tinggi.

Penyumbang ketiga terbesar pula ialah penggunaan kad kredit di luar kawalan iaitu sebanyak 17 peratus diikuti gagal dalam perniagaan dan hilang pekerjaan iaitu masing-masing 12 peratus.

Faktor lain ialah kematian ketua keluarga (dua peratus) diikuti kegagalan dalam pelaburan (satu peratus) dan lain-lain (enam peratus).