Pengguna dinasihatkan jangan tertipu jualan telefon bimbit murah

Pengguna dinasihatkan jangan tertipu jualan telefon bimbit murah

Persatuan Pengguna dan Sosial Daerah Petaling (Caps) menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila membeli telefon bimbit canggih dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran harga rendah yang diberikan peniaga atau ejen telefon bimbit.

Timbalannya, Shamsuddin Hassan berkata, ia berikutan semakin banyak aduan diterima mengenai ejen yang enggan bertanggungjawab walaupun produk masih dalam tempoh jaminan.

Menurutnya, antara aduan yang diterima pihaknya ialah telefon bimbit yang baru dibeli tidak mempunyai kamera, tidak boleh dicas serta tidak berfungsi.

” Sebagai contoh, sebuah telefon bimbit Blackberry tulen di pasaran dijual RM1,900 sedangkan di tapak ekspo dijual sekitar RM420. Ia jauh lebih murah daripada harga asal.

“Tetapi, apabila berlakunya kerosakkan dan pengguna mengadukannya kepada peniaga atau ejen terbabit pelbagai alasan diberikan dan enggan bertanggungjawab,”katanya ketika ditemui semalam.

Beliau berkata, keadaan itu timbul kerana syarikat pengeluar tidak ambil peduli siapa yang menjual produk mereka iaitu ejen dilantik atau tidak dilantik, asalkan mereka meningkatkan jualan.

“Dalam keadaan sebegitu, banyak ejen yang tidak dilantik menjual set telefon bimbit dengan harga lebih murah kerana mereka tidak perlu mematuhi syarat waranti,” katanya.

Shamsuddin berkata, Caps menggesa syarikat pengeluar telefon bimbit supaya lebih beretika dan hanya berurusan dengan ejen yang dilantik syarikat bagi menjaga kepentingan pengguna.

“Pengguna juga sepatutnya hanya berurusan dengan ejen yang dilantik syarikat sahaja,”katanya.

Sementara itu, salah seorang pengguna yang enggan mendedahkan identitinya ketika ditemui Komunitikini berkata, semasa mengunjungi jualan karnival, beliau amat tertarik dan berminat untuk membeli telefon tersebut setelah melihatkan harganya yang jauh lebih rendah berbanding harga jualan sebenar.

Namun, menurutnya, selepas beberapa hari menggunakan telefon yang dibeli dengan harga dalam lingkungan RM450 tiba-tiba ia mengalami kerosakan .

“Saya cuba memulangkan serta mahu mendapatkan penjelasan sebenar tetapi malangnya tidak diterima oleh jurujual tersebut,”katanya dalam nada kesal.

Antara iklan yang dipamerkan pada jualan telefon bimbit murah

Difahamkan sejak kebelakangan ini ramai pengguna tertipu dengan jualan murah telefon bimbit ditawarkan pada promosi jualan karnival telefon bimbit di seluruh negara.

Tawaran inilah yang menyebabkan ramai di antara pengguna  terutamanya mereka yang kurang peka dan taksub terhadap model baru telefon bimbit di pasaran terpedaya sekali gus mengalami kerugian selain terpaksa berputih mata.

Perbezaan antara telefon bimbit ori dan klon

Telefon bimbit klon berjenama seperti iPhone  dan Nokia merupakan produk daripada negara China pembuat dan pengeluar utama barang-barang tiruan di mana komponen yang digunakan di dalam telefon bimbit tidak tahan lama.

Apa yang menjadi persoalannya, jika ramai yang membuat pengaduan kerana tertipu dengan jualan karnival tersebut, mengapa dan siapa memberikan permit atau lesen perniagaan sewenang-wenangnya kepada pihak penganjur jualan ini? Sampai bila harus di biarkan pembeli dan pengguna tertipu?